-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

 Contoh Karangan SPM

Kekalahan skuad bola sepak kebangsaan dalam pertandingan kelayakan Piala Dunia kepada pasukan Singapura serta tumbangnya jagoan badminton negara Datuk Lee Chong Wei, dalam Kejohanan Badminton Dunia baru-baru ini, seolah-olah mengesahkan bahawa mutu sukan Malaysia semakin merudum. Hal ini belum lagi mengambil kira prestasi sukan-sukan teras yang lain seperti hoki, olahraga, renang, dan sebagainya. Kemerosotan pencapaian atlet-atlet negara ketika bertanding sama ada pada peringkat serantau mahupun antarabangsa telah menimbulkan pelbagai tanggapan negatif dalam kalangan peminat sukan di negara ini. Apakah atlet-atlet kita hanya gah ketika bertanding sesama sendiri sehingga mewajarkan gelaran jaguh kampung,  ataupun atlet kita kurang bermotivasi apabila bersaing pada peringkat antarabangsa? Walau apa-apapun pertikaiannya, ternyata pelbagai langkah konkrit dan menyeluruh perlu diambil untuk meningkatkan mutu sukan negara, agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dalam bidang sukan.

Dalam hal ini, perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah dengan merombak jawatankuasa induk yang menaungi sesebuah persatuan sukan. Bukan lagi rahsia, kebanyakan persatuan sukan di Malaysia dipimpin oleh elit politik. Lihat sahaja persatuan-persatuan seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Malangnya, para pemimpin yang dipilih secara sebulat suara ini, sering menjadikan persatuan berkenaan sebagai medan untuk mencari pengaruh dan meneruskan agenda politik mereka. Keghairahan memenuhi agenda peribadi, menyebabkan program pembangunan sukan dan atlet telah dianaktirikan. Kedangkalan pengetahuan tentang bidang sukan serta kegagalan memahami perubahan yang berlaku, mewajarkan ketandusan pencapaian para atlet kita. Berkaitan hal ini, mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menyeru agar para pemimpin politik melepaskan jawatan mereka dalam persatuan sukan agar program pembangunan sukan hanya ditangani oleh individu yang berkelayakan. Justeru, sewajarnya barisan kepimpinan sukan ini dirombak dan seterusnya memberikan laluan kepada muka-muka baru yang mempunyai latar belakang bidang sukan serta beriltizam tinggi untuk memajukan mutu sukan negara, persis kata pujangga, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Di samping itu, program-program pembangunan atlet juga perlu diperbaiki dan diberi nafas baru dalam usaha melahirkan atlet yang berdaya saing. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk menyokong program-program pembangunan sukan di negara ini seperti penubuhan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN). Program pembangunan sukan ini meliputi aspek-aspek kritikal seperti kewangan, kejurulatihan, pemakanan, psikologi, dan sebagainya. Berhubung dengan isu ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sabri Chik pernah menegur tentang cara pemakanan para pemain bola sepak kebangsaan ketika bertanding dalam Kejohanan Piala Asia yang dianggap tidak bersesuaian dengan diet para atlet. Menurutnya kebanyakan para pemain bola sepak negara lebih menggemari roti canai, nasi lemak, dan merokok. Kegagalan menyediakan program-program berkualiti, memungkinkan mutu sukan negara terus merudum dan kita terus ketandusan para atlet yang berpotensi. Contohnya sejak menjuarai Piala Thomas pada 1992, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya bergantung kepada gandingan emas, Koo Ken Kiat dan Tan Boon Heong, serta Datuk Lee Chong Wei. Misi pencarian pelapis baru masih lagi gagal.  Namun begitu, segala kelemahan tidak harus menjadi noktah untuk kita terus berusaha. Dengan penggemblengan usaha dan iltizam semua pihak, pastinya sinar di hujung terowong dapat dijelmakan untuk mengangkat kembali martabat sukan negara kita.

Selain itu, para atlet negara juga perlu didedahkan dengan kejohanan-kejohanan antarabangsa secara lebih kerap. Penyertaan secara berterusan amat penting dalam usaha memantapkan persembahan serta menyesuaikan diri  dalam situasi pertandingan yang sebenarnya. Pasukan bola sepak contohnya, tidak mampu membentuk persefahaman yang mantap jika digabungkan menjelang saat akhir pada sesebuah kejohanan sahaja. Setiap pemain sudah pasti mempunyai latar belakang kemahiran dan peribadi yang berbeza. Justeru, penyertaan secara berterusan dalam pelbagai kejohanan dapat membentuk persefahaman dalam kalangan mereka seterusnya mampu menuai hasil yang diharapkan. Pencapaian jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan  ratu squasy negara, Datuk Nicole Ann David sehingga membolehkan mereka berada pada kedudukan teratas senarai pemain terbaik dunia, adalah berpunca daripada penyertaan yang aktif dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Perlu ditegaskan bahawa kejayaan yang diinginkan tidak boleh dijelmakan dengan usaha secara ala kadar, ibarat melepaskan batuk di tangga. Sebaliknya, menuntut iltizam dan kerja keras semua pihak sama ada dalam kalangan atlet, pihak-pihak berwajib, dan malahan peminat sukan tanah air.

Di samping itu, Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlulah berperanan mencungkil bakat-bakat muda daripada peringkat sekolah lagi. Kita sedia maklum bahawa para pelajar di seluruh negara begitu ramai yang mempunyai bakat yang terpendam dalam bidang sukan. Buktinya semasa kejohanan sukan di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, kita dapati ramai pelapis muda yang berbakat dan berpotensi. Namun bakat mereka tenggelam begitu sahaja setelah tamat zaman persekolahan. Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pelajaran Malaysia perlu berkerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan serta badan-badan sukan untuk menggilap bakat-bakat muda ini hingga mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Penubuhan sekolah-sekolah sukan seperti Sekolah Sukan Sultan Abdul Jalil, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) Bandar Penawar dan merupakan satu alternatif bijak agar kita tidak ketandusan pelapis dalam bidang sukan negara pada masa akan datang.

Pengambilan jurulatih serta pemain import juga merupakan suatu usaha yang positif ke arah meningkatkan mutu sukan negara. Hal ini demikian kerana para atlet serta ahli sukan mendapat bimbingan serta tunjuk ajar berterusan daripada jurulatih yang berwibawa. Para pemain dapat didedahkan dengan teknik, serta kemahiran bertaraf dunia agar pemain kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pemain-pemain di peringkat dunia. Selain itu, para pemain juga akan mendapat rakan pelatih atau  sparing partner yang bertaraf dunia. Dengan pendedahan serta latihan intensif ini sudah pasti para atlet mampu bersaing atau bertanding di peringkat antarabangsa. Tindakan FAM untuk mengambil pemain-pemain import semula dalam Liga Bola Sepak Malaysia merupakan usaha serampang dua mata, iaitu untuk meningkatkan mutu sukan negara serta menyemarakkan sokongan peminat sukan kepada pasukan pilihan mereka. Jelaslah bahawa pengambilan jurulatih dan pemain import bukan sahaja meningkatkan prestasi atlet atau ahli sukan, malahan dapat meningkatkan imej negara di mata dunia.

Konklusinya, kemerosotan mutu sukan negara tidak seharusnya dibiarkan berlanjutan kerana hal ini sedikit banyak berkaitan dengan maruah kita pada peringkat antarabangsa. Sejajar dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menjangkau angka lima puluh empat tahun, seharusnya telah mematangkan prestasi kita dalam bidang sukan. Tiada salahnya untuk kita belajar dengan negara-negara seperti Trinidad dan Tobago atau pun Kenya yang telah berjaya melayakkan diri dalam pertandingan akhir bola sepak Piala Dunia 2006 serta mampu melahirkan atlet olahraga bertaraf dunia. Hanya dengan kerjasama erat semua pihak bagai aur dengan tebing, misi untuk melihat kelibat anak-anak muda Malaysia beraksi pada pusingan akhir bola sepak Piala Dunia 2014 akan menjadi kenyataan. Peribahasa Melayu ada menyatakan pengayuh sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air, terserah kepada kita untuk merealisasikan impian 26 juta rakyat Malaysia. Semoga slogan, Majulah Sukan Untuk Negara dapat diimplementasikan.
Back to Top