-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

 GENM 4715 GENTING MALAYSIA BERHAD SkyWorlds terima 3,000 pelawat sehari

KUALA LUMPUR: Operasi dan perniagaan Genting Malaysia Bhd (GENM) menerusi unit taman tema dan tarikan keluarga, Resorts World Genting semakin pulih terutama apabila Genting SkyWorlds menerima sekitar 3,000 pelawat setiap hari dan mencecah kemuncak sehingga 20,000 pelawat sepanjang April dan Mei.

Ketika ini, sejumlah 15 daripada 19 aktiviti dalam Genting SkyWorlds telah beroperasi, manakala bakinya dijangka dibuka sepanjang tahun ini selepas GENM terus meningkatkan operasi taman tema.

RHB Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan berkata, pelbagai segmen perniagaan GENM meneruskan pemulihan pada suku pertama dengan Genting SkyWorlds telah menunjukkan permulaan pemulihan yang baik.

"Kami yakin GENM akan meraih peningkatan pendapatan berterusan apabila aktiviti pelancongan terus melonjak sepanjang tahun ini.

"Hotel Resorts World Genting telah membuka 5,000 daripada 10,500 bilik yang tersedia dan beroperasi pada kadar penghunian 88 peratus. Kami menjangkakan peningkatan berterusan merentas segmen GENM, dengan kembalinya pekerja asing dan apabila negara beralih ke fasa endemik," katanya.

Menurut RHB Investment, pendapatan bukan perjudian berada pada tahap tertinggi sejak suku pertama 2020, iaitu pada 58 peratus daripada purata suku tahun 2019.

"Bagaimanapun, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) menyederhana 44 peratus suku ke suku disebabkan faktor bermusim dan kos penggajian lebih tinggi berikutan peningkatan operasi SkyWorlds," katanya.

Justeru, bank pelaburan berkata, ia mengurangkan unjuran tahun kewangan 2022 hingga 2024 sebanyak 10 peratus hingga tiga peratus selepas mengambil kira kelemahan luar jangkaan pada suku pertama 2022 di Malaysia dan perbelanjaan faedah lebih tinggi pada masa depan.

"Pendapatan lebih rendah menjadikan harga sasaran saham GENM kepada RM3.45 termasuk diskaun alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak lapan peratus.

"Kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap sahamnya memandangkan GENM terus menjadi penerima manfaat utama dalam pemulihan aktiviti pelancongan," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/05/960535/genting-skyworlds-terima-3000-pelawat-sehari

Back to Top