-->

Type something and hit enter

Videos - Stocks



On


DNeX manfaat SilTerra bangun produk baharu

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX), menerusi SilTerra Malaysia Sdn Bhd, sedang mengusahakan teknologi dengan syarikat multinasional global untuk membangunkan produk baharu.

Pengarah Urusan Kumpulan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata produk baharu itu dijangka dihasilkan pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022.

Katanya, pihaknya juga sedang berusaha dari segi penambahbaikan teknologi termasuk sistem mikro-elektromekanik (MEMS) dan fotonik silikon.

"Kami bekerjasama dengan rakan kongsi, Beijing Integrated Circuit Advanced Manufacturing dan High-End Equipment Equity Investment Fund Center (Limited Partnership) (CGP Fund) selain komited untuk menyuntik modal baharu sebanyak RM200 juta yang akan digunakan secara khusus untuk pembelian dan peningkatan mesin serta sumber yang relevan untuk memenuhi keperluan teknologi semasa.

"Ini bagi memboleh perubahan dalam campuran produk yang mampu menghasilkan margin perniagaan yang lebih baik dan memastikan kemampanan perniagaan jangka panjang untuk SilTerra. Seterusnya, hal ini akan membuka kunci potensi SilTerra dan mendorong gabungan skala," katanya dalam satu temubual bersama BH.

Beliau berkata, DNeX juga akan memimpin SilTerra ke arah akses pasaran dengan memanfaatkan rangkaian rakan kongsi, termasuk dari segi pelanggan strategik dan kontrak pembekalan jangka panjang.

"Di samping itu, kami menjangkakan bahawa permintaan untuk cip akan terus meningkat, didorong oleh peningkatan penggunaan teknologi seperti Internet of Things (IoT), 5G, Kecerdasan Buatan (AI) dan kenderaan berasaskan elektrik.

"Kami sangat berpuas hati dengan perjanjian pembekalan dan pembelian wafer SilTerra yang baru diumumkan bernilai AS$400 juta dengan ChipOne Technology (Beijing) Co Ltd, sebuah syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) 'fabless' terkemuka yang berpusat di Beijing, China dan terbabit dalam pembuatan pengawal sentuh serta pengesan cap jari.

"Ini menunjukkan komitmen pemegang saham baharu SilTerra dalam transformasi syarikat melalui usaha perniagaan yang lebih mampan," katanya.

Di bawah perjanjian ini, SilTerra akan membekalkan wafer yang digunakan dalam pengeluaran peranti semikonduktor kepada ChipOne.

DNeX menyelesaikan pengambilalihan 60 peratus kepentingan ekuiti dalam SilTerra daripada Khazanah Nasional Bhd pada 26 Julai lalu, sekali gus menjadikannya sebagai pemegang saham majoriti SilTerra.

Syed Zainal yang juga adalah Pengerusi Eksekutif SilTerra Malaysia berkata, pihaknya telah menubuhkan Pejabat Pengurusan Transformasi untuk memberi perhatian kepada langkah transformatif yang merangkumi beberapa bidang utama termasuk operasi dan teknologi sejak pengambilalihan SilTerra selesai.

Katanya, semua perkembangan juga berjalan dengan lancar dan sebagai langkah proaktif, DNeX bekerjasama dengan CGP Fund untuk menggariskan beberapa langkah yang transformatif sebelum pengambilalihan itu selesai.

"Kami memanfaatkan kepakaran industri dan juga kemampuan dalaman untuk memaksimumkan potensi pertumbuhan SilTerra sambil memanfaatkan kemampuan yang ada.

"Transformasi ini juga merangkumi memahami peranan dan tanggungjawab setiap bidang kerja dan operasi dengan lebih mendalam.

"Kami akan menilai faktor-faktor yang berpotensi menjana hasil positif serta meningkat pertumbuhan syarikat yang juga dapat menjadi pemangkin kemajuan syarikat pada masa akan datang," katanya.

Tambah beliau, pihaknya memberi fokus kepada beberapa bidang penambahbaikan iaitu pembuatan di mana penambahbaikan disasarkan pada kecekapan dan masa kitaran di kilang serta pengurangan sisa dan inventori.

"Perolehan melalui pengurusan sumber dan rantaian bekalan yang lebih baik untuk mengenal pasti potensi penjimatan serta perkhidmatan pelanggan dengan peningkatan pembabitan pelanggan dan penambahbaikan 'on time delivery index'.

"Teknologi di mana kajian semula peta jalan teknologi sedang dilakukan seiring dengan pencepatan platform teknologi utama untuk mendapatkan margin lebih baik dan pelanggan jangka panjang serta kajian struktur organisasi ke arah struktur lebih cekap dan fokus," katanya.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/08/857579/dnex-manfaat-silterra-bangun-produk-baharu

Back to Top
Back to Top
Back to Top