-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

700 syarikat penerbangan sertai airasia Super App

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo dan Ketua Penerbangan airasia Super App, Rajiv Kumar mengumumkan kerjasama dengan lebih 700 jenama syarikat penerbangan antarabangsa dan ribuan hotel di seluruh dunia - Foto ihsan AirAsia

KUALA LUMPUR: Airasia Super App memperluas tawaran penerbangan dan hotelnya melalui kerjasama dengan lebih 700 syarikat penerbangan antarabangsa yang terbang ke lebih 3,000 destinasi dan ribuan penginapan di seluruh dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Super App, Amanda Woo, berkata pihaknya kini mempunyai syarikat penerbangan terkemuka dunia sebagai rakan kongsinya termasuk Air Canada, Air France, Air Mauritius, Bamboo Airways, Ethiopian Airlines, flydubai, Go First, KLM, Mahan Air, Qatar Airways, Turkish Airlines, Philippine Airlines dan US Bangla Airlines.

"Kerjasama dengan penyedia penginapan juga terus diperkembangkan dengan lebih 300,000 tawaran penginapan kini tersedia melalui airasia Super App," katanya semasa pengumuman mengenai airasia Super App, hari ini.

Woo berkata, dengan kerjasama yang semakin meluas, pengguna airasia Super App kini boleh menempah perjalanan dengan nilai terbaik ke pelbagai destinasi di luar rangkaian AirAsia termasuk ke serata Eropah, Oceania, Afrika, Asia Barat dan Amerika.

Beliau berkata, airasia Super App yang mempunyai pelbagai cabang komprehensif dalam kategori perjalanan dan gaya hidup akan memberikan nilai terbaik kepada pelanggan untuk menikmati pelbagai tawaran perjalanan.

"Kami akan terus bekerjasama dengan pemain industri lain untuk meningkatkan permintaan perjalanan dan melengkapkan tawaran produk sebagai platform sehenti untuk semua keperluan perjalanan dan gaya hidup pelanggan kami," katanya.

Bagi meraikan kerjasama dengan rakan kongsi syarikat penerbangan baharu ini, airasia Super App menawarkan promosi istimewa tiga hari sahaja dengan diskaun 50 peratus dari Kuala Lumpur ke London, Istanbul, Helsinki, Abu Dhabi, Phuket dan Bangkok serta terbang dari Bangkok ke London, Los Angeles, Shanghai, Munich, Phuket dan Chiang Mai.

"Mereka yang menetap di Manila boleh menikmati diskaun yang sama dan terbang dari Manila ke Amsterdam, Los Angeles, Dubai, Maldives, Cebu dan Bangkok. Tetamu dari Jakarta, Indonesia boleh menempah penerbangan ke Istanbul, Doha, Abu Dhabi, New York, Bali dan Surabaya," katanya.

Penerbangan tersedia untuk tempahan bermula 29 Oktober hingga 31 Oktober 2021, untuk tempoh perjalanan bermula 8 November 2021 hingga 29 Oktober 2022 manakala untuk Thailand, tempoh perjalanan bermula dari 3 Januari 2022 hingga 29 Oktober 2022.

Woo berkata, dalam masa dua tahun sahaja, pihaknya kini adalah antara tiga ejen pelancongan terkemuka di ASEAN berdasarkan trafik laman web, dengan lebih 100 juta pengunjung pada setiap bulan.

"Kami satu-satunya ejen pelancongan dalam talian yang juga memiliki syarikat penerbangan," katanya.

Mengenai prospek, katanya airasia Super App menyaksikan lonjakan dari segi permintaan terhadap syarikat penerbangan dan hotel selepas kerajaan menamatkan sekatan perjalanan untuk penerbangan domestik dan antarabangsa.

"Ia adalah tahun yang amat baik dan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kami menjangka pemulihan yang kukuh terutama untuk perjalanan domestik," katanya.

Ketua Penerbangan airasia Super App, Rajiv Kumar, berkata dengan menggunakan teknologi antara talian, pihaknya kini boleh menggabungkan inventori penerbangan luas dan menawarkan jadual perjalanan dengan diskaun menarik.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/10/881057/700-syarikat-penerbangan-sertai-airasia-super-app

Back to Top