-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

AKTIVITI BERFAEDAH YANG BOLEH DILAKUKAN REMAJA UNTUK MENGISI MASA LAPANG

SOALAN : Pelbagai aktiviti yang berfaedah boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengisi masa lapang. Bincangkan

AKTIVITI BERFAEDAH YANG BOLEH DILAKUKAN REMAJA

UNTUK MENGISI MASA LAPANG

Dalam menongkah era ledakan sains dan teknologi, rakyat Malaysia juga tidak terlepas untuk bersama-sama dengan negara lain bagi mencapai hasrat untuk menjadikan kehidupan di dunia lebih canggih dan mewah. Kendatipun begitu, seiring kemajuan itu, kita acap kali terleka sehinggakan timbul gejala sosial yang beronar dalam kalangan belia. Hal ini menjadi satu permasalahan yang besar kepada negara kerana para belia merupkam mereka yang bakal menggantikan pucuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Adakah kita ingin membiarkan nasib bangsa kita seperti retak menanti belah?Tidak mungkin. Oleh hal yang demikian, mereka perlulah diberikan tunjuk ajar oleh ibu bapa dan masyarakat tentang aktiviti berfaedah sedari usia setahun jagung lagi. Dalam konteks ini, ibu bapa tidak sepatutnya bersifat evasif dan membiarkan anak-anak menentukan hala tuju mereka kerana jiwa muda pantang dicabar. Oleh itu, diskusi mengenai aktiviti berfaedah yang boleh dilakukan oleh remaja untuk mengisi masa lapang hendaklah dilakukan untuk kepentingan sejagat.

Uslub yang perdana, remaja sewajarnya mengamalkan budaya membaca untuk mengisi masa lapang. Bahan bacaan yang boleh dijadikan contoh adalah seperti buku, novel, surat khabar dan majalah ilmu. Bagi melahirkan generasi ilmu, pihak sekolah telah bertungkus-lumus menyediakan perpustakaan yang kondusif dan selesa kepada para pelajar. Kini, pelajar boleh meminjam buku untuk membacanya di luar kawasan perpustakaan dan memulangkan semula pada waktu yang ditetapkan. Selain itu, kerajaan malalui Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melancarkan Program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dalam usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan remaja. Dalam program ini, pelajar dikehendaki untuk menulis seberapa banyak rumusan tentang buku yang dibaca di dalam buku yang telah dikhaskan. Sekiranya pelajar, membaca melebihi kadar tertentu seperti 500 buku dan ke atas, pelajar tersebut akan menerima hadiah yang lumayan iaitu wang ringgit, sijil dan cenderamata. Oleh itu, para pelajar hendaklah menyahut seruan kerajaan dengan melaksanakan perkara ini. Pada hemat saya, membaca memberikan 1001 kebaikan yang tidak terhitung kepada para remaja. Melalui pembacaan, remaja dapat mengetahui tentang dunia luar, cara sesuatu bahan diproses dan sirah perjuangan tokoh-tokoh Islam.  Hal ini sekali gus dapat membolehkan barisan belia berfikiran holistik, matang dan rasional dalam menentukan sesuatu perkara dan tidak terdorong dengan kehendak kendiri. Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh bahawa membawa mampu membentuk remaja yang bermentaliti kelas pertama.

Meninjau uslub dan minhaj yang seterusnya, aktiviti yang boleh dilakukan remaja untuk mengisi masa lapang adalah menyertai aktiviti kesukarelawanan. Aktiviti kesukarelawanan adalah seperti menguruskan program amal, melakukan jualan amal dan menyertai misi kemanusiaan dengan menghulurkan bantuan kepada gelandangan dan menjadi penyumbang tenaga dalam komuniti masyarakat. Aktiviti kesukarelawanan adalah amat sesuai diimplementasikan dalam kalangan remaja untuk membentuk sahsiah yang terpuji dan kemahiran sosial yang berkesan dalam kalangan mereka. Semasa usia remaja, mereka yang masih berdarah muda cenderung mencabar diri untuk melakukan perkara ekstremis tanpa memikirkan maruah keluarga mereka yang akan tercalar. Melalui program amal, saya pasti temaha akan sedar akan kesilapan mereka dan bersyukur dengan segala yang dimiliki oleh mereka. Sebagi contoh, program amal seperti melawat gelandangan di bawah jambatan membolehkan mereka berinteraksi dengan fakir miskin di situ sekali gus menyebabkan Mereka bermunasabah dan bersyukur kerana masih diberi peluang sebagai manusia yang lengkap dengan segala keperluan. Pada pendapat saya, dengan cara ini, remaja akan cuba membaiki diri dan menjadi individu yang berusaha keras untuk mengubah nasib diri agar dapat membantu lebih banyak golongan ini pada masa akan datang. Konklusinya, tidak dapat dikesampiingkan bahawa aktiviti kesukarelawanan adalah penting kepada remaja untuk membentuk sahsiah yang unggul.

Seterusnya, remaja juga perlulah menyertai aktiviti sukan untuk mengisi masa lapang. Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melancarkan program 1 Murid 1 Sukan di setiap sekolah di Malaysia bagi melahirkan pelajar yang seimbang rohani dan jasmani. Sehubungan dengan itu, remaja dikehendaki memilih sukan kegemaran mereka untuk disertai ketika Sukan dan Permainan yang akan diadakan semasa waktu Kokurikulum yang diadakan pada hari Rabu. Tamsilnya, aktiviti sukan yang dianjurkan adalah seperti menunggang kuda, silat, permainan tradisional, bola sepak, bola tampar, bola baling dan hoki. Melalui pelaksanaan program ini, remaja yang mahir dalam acara sukan tersebut akan dipilih untuk mewakili sekolah dan bertanding di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan seterusnya antarabangsa. Sebagi contoh, kanak-kanak berumur 12 tahun mewakili negara dalam acara golf yang dilangsungkan di Thailand dan berjaya memperoleh pingat dalam kejuaraan tersebut. Aktiviti sukan yang dijalankan mampu menyediakan remaja sebagai bakal pengganti atlet-atlet negara yang telah mengundur diri daripada arena kesukanan seperti Datuk Lee Chong Wei dan Nicole Ann David. Pada pendapat saya, Malaysia masih kekurangan atlet yang mampu mencipta nama di arena kesukanan antarabangsa. Oleh hal yang demikian, remaja haruslah merebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi atlet dan pemain yang terbaik dalam bidang sukan agar dapat mencipta kemajuan sukan dalam negara. Natijahnya, sukan merupakan aktiviti yang berfaedah untuk dilakukan remaja pada masa lapang.

Andai ditelusi, remaja juga wajarlah menyertai kursus kemahiran teknik dan vokasional untuk mengisi masa lapang. Hal ini kerana kemahiran dan teknik menjamin masa hadapan remaja untuk membangunkan negara. Satu kajian telah dilakukan berhubung dengan perkara ini. Kajian tersebut mendapati bahawa pada masa akan datang, Malaysia memerlukan lebih banyak tenaga mahir untuk mencapai cita-cita dalam mewujudkan sebuah negara industri. Sebahagian besar daripada pekerjaan hari ini akan digantikan dengan penggunaan mesin dan teknologi. Mari kita ambil contoh ketika individu ingin menyimpan atau mengeluarkan wang di bank. Dahulunya, kita haruslah terlebih dahulu berjumpa dengan kerani bank untuk menyelesaikan urusan itu. Kini dengan adanya automated teller machine (ATM) kita dapat menyimpan wang dengan senang tanpa menunggu giliran untuk berjumpa kerani bank bagi menyimpan wang ringgit. Oleh hal yang demikian, remaja perlulah menyertai kurus kemahiran seperti kurus jahitan, masakan, kebengkelan dan lain-lain lagi bagi memenuhi kehendak Revolusi Perindustrian yang keempat. Melalui bengkel dan kursus yang diadakan, remaja dapat memperispakan diri untuk menghadapi pancaroba dunia akan datang agar mudah merebut peluang pekerjaan tidak kiralah daripada badan kerajaan atau swasta. Deduksinya, untuk mengisi masa senggang, remaja haruslah menyertai kursus kemahiran teknik dan vokasional.

Akhir sekali, remaja juga patutlah memanfaatkan masa lapang dengan melayari Internet. Pada era dunia tanpa sempadan, pelbagai maklumat boleh diperoleh dengan mengheret skrin telefon pintar atau menekan kekunci pada komputer riba. Dengan adanya kemudahan Internet, perkara yang sukar dapat menjadi senang, masa yang panjang dapat disingkatkan dan orang yang jauh di perantauan dapat dihubung. Tiada yang mustahil pada hari ini apabila semua orang dapat mengakses Internet. Bagi memanfaatkan penggunaan Internet, remaja boleh menghasilkan video pendek untuk dipertotonkan di laman Youtube sebagai tujuan untuk menjana pendapatan pada usia muda. Dengan memenuhi kriteria yang diinginkan, video-video yang dihasilkan akan memberikan pulangan berupa wang dalam US Ddollar kepada mereka. Perkara ini dapat membentuk remaja yang mampu hidup berdikari sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung ibu bapa mereka. Selain itu, remaja juga boleh mencipta blog untuk berkongsi tips-tips belajar dengan orang ramai. Sementelahan pula, remaja dapat berhubung dengan kenalan dari luar negara dengan melayari Internet dan secara tidak langsung dapat mengasah kemahiran berbahasa asing.Perkara ini juga dapat mnegratkan hubungan silaturahim seperti kata aforisme Melayu bagai isi dengan kuku. Dengan adanya hubungan yang baik dengan kenalan dari luar negara, remaja dapat mengetahui destinasi pelancongan yang menarik di negara mereka. Sehubungan dengan itu, tidak dapat dinafikan bahawa remaja mendapat pelbagai manfaat dengan melayari Internet pada masa lapang.

Akhir kalam, izharlah pelbagai aktiviti yang bermanfaat boleh dilakukan oleh golongan remaja untuk mengisi masa lapang. Melalui hobi yang mendatangkan kemaslahatan ini, remaja pasti dapat mengelakkan diri mereka daripada terpengaruh dengan doktrin Barat yang berupa budaya kuning yang bakal menghancurkan masa hadapan anak bangsa Malaysia. Rentetan daripada senario ini, remaja haruslah berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi invidu yang aktif, produktif dan proaktif agar mudah untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat dalam usaha mencapai hasrta negara industri yang ditunggu-tunggukan. Sebagi pemuda harapan negara, pemudi tiang negara, remaja haruslah merancang matlamat yang jelas untuk memacu kemajuan negara pada masa akan datang dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat pada hari ini.






http://ohkarangan.blogspot.com/2021/10/aktiviti-berfaedah-yang-boleh-dilakukan.html
Back to Top