-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On
Dalam mendapani arus globalisasi dan kemajuan, Negara kita kian laju memacu mengejar kemajuan demi kemajuan. Kini, kita boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapi serta boleh dianggap setanding dengan Negara lain bak kata pepatah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Namun demikian,masyarakat kini juga semakin  sibuk dengan hal masing – masing sehingga melupakan norma kehidupan dan nilai murni yang perlu ditelusuri dalam hidup bermasyarakat. Dengan kata lain, masyarakat kini menjadi materialistik dan individualistic iaitu mementingkan diri sendiri dan tiada lagi semangat kejiranan. Semangat kejiranan kian terpinggir dalam kalangan masyarakat kota terutamanya  dan mereka hidup ibarat enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing – masing malahan ada yang menjadi seperti kera sumbang. Budaya bergotong – royong, ziarah – menziarahi mahupun bertegur sapa sesama jiran juga semakin pudar dalam masyarakat kota. Tidak mustahil juga sekiranya mereka tidak mengenali jiran di sebelah rumah apatah lagi masyarakat setempat. Slogan ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh ‘ dan pepatah bagai aur dengan tebing pula hanya terserlah dalam masyarakat luar Bandar atau kampung  yang kini kian kecil dan menjadi kumpulan minoriti yang masih mengamalkan semangat kejiranan . Hal ini menyebabkan institusi kemasyarakatan tidak lagi utuh dan perlu diberikan perhatian serius. Persoalannya, pihak manakah yang harus dipertanggungjawabkan untuk segala fenomena ini? Apakah pula langkah- langkah yang wajar diambil bagi menyerlahkan kembali semangat kejiranan yang semakin sirna dalam masyarakat hari ini? Segala persoalan ini akan saya rungkaikan dalam perenggan – perenggan seterusnya.

             Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan dalam masyarakat, maka pihak pertama yang boleh memainkan peranan adalah pihak media massa. Media massa merupakan wahana yang dominan dalam mempengaruhi minda seseorang dengan cepat dan berkesan. Media massa juga memainkan peranan yang sangat penting  dalam mengorak langkah memupuk kembali semangat kejiranan yang kian pudar dalam kalangan masyarakat. Pihak media massa seperti media cetak , media elektronik dan laman social dapat menyebarkan maklumat mengenai semangat kejiranan. Hal ini demikian kerana maklumat dapat disampaikan dengan lebih cepat. Kesannya, masyarakat akan lebih faham dan mendapat pelbagai maklumat yang mendalam mengenai semangat kejiranan. Contohnya, media hiburan seperti televisyen dapat menyampaikan mesej – mesej penting berkaitan semangat kejiranan. Malah stesen televisyen dan radio perlu menyiarkan program yang boleh memupuk semangat kejiranan seperti ceramah agama dan ceramah motivasi yang berkaitan dengan kejiranan. Akhbar dan majalah juga perlu memuatkan gambar dan rencana tentang aktiviti yang dapat memupuk semangat kejiranan.  Media elektronik pula, boleh menyiarkan dakumentari dan rancangan menarik tentang kejiranan. Melalui media massa, pelbagai maklumat dan berita boleh disampaikan dengan lebih efektif dan meluas. Sesungguhnya, berita dan isu semasa yang disiarkan oleh media massa lebih mudah menarik perhatian orang ramai terutamanya generasi muda. Sebagai contoh, usaha majalah 3 menyiarkan ‘ Colour of Malaysia’ wajar di sokong. Justeru, aforisme hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ini wajar kita tonjolkan dalam hidup bermasyarakat melalui sokongan dan peranan pihak media massa untuk merealisasikan masyarakat harmonis yang termaktuk dalam wawasan 2020.

              Seterusnya, NGO ataupun badan bukan kerajaan seperti Rela, Rukun Tetangga, Persatuan Belia dan Persatuan Penduduk dan juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan  semangat kejiranan dalam kehidupan seharian. NGO berperanan sebagai tunjang utama untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti gotong – royong perdana, rumah terbuka dan sukan rakyat. Dengan adanya aktiviti berunsurkan kemasyarakatan ini sudah tentu akan mewujudkan maslahat serampang dua mata secara tidak langsung akan mengeratkan hubungan silaturrahim, berkenal – kenalan dan badan juga akan sihat dan cergas. Dengan adanya rumah terbuka yang dianjurkan oleh NGO, masyarakat yang berbilang kaum dapat berkenal – kenalan kerana mereka berkumpul di dalam suatu majlis seperti Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Deepavali, dan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Malahan mereka juga dapat mengetahui  adat resam pelbagai etnik atau kaum dan ini akan mewujudkan perpaduan kaum yang diinginkan oleh kerajaan untuk mencapai konsep 1 Malaysia. Dewasa ini, dengan adanya pertubuhan NGO ini, mereka secara bergilir -  gilir mengawasi keselamatan tempat tinggal atau taman untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini serta memudaratkan penduduk tempatan seperti membunuh, merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat persis kata peribahasa iaitu ibarat aur dengan tebing yang mementingkan sikap bentuk dalam hidup bermasyarakat. Tegasnya, NGO haruslah aktif tanpa mengira masa dan waktu dan tidak mengamalkan sikap melepaskan batok di tangga. Oleh itu, NGO haruslah memainkan peranan dengan lebih proaktif dan dinamik bagi memupuk semangat kejiranan yang jitu.

               Ibu bapa juga memainkan peranan dalam meningkatkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Ibu bapa perlu menunjukkan contoh teladan terhadap anak – anak atau dengan kata lain sebagai suri teladan, terhadap anak – anak seperti figurative melayu ada mengatakan bahawa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Amalan bertegur sapa, hormat – menghormati sesame jiran harus dimurnikan oleh ibu bapa supaya anak – anak dapat mencontohi sikap ibu bapa yang baik dan positif. Pepatah melayu juga mengatakan anak merupakan kain putih yang harus dicorakkan oleh ibu bapa dengan amalan serta tingkah laku yang baik. Semangat kejiranan ini harus diberikan priority oleh ibu bapa bagi menyemai sikap berjiran dalam diri anak – anak mereka agar semangat kejiranan yang harmoni dan sejahtera dapat diwujudkan. Hal ini akan, menyebabkan nilai kerjasama serta persefahaman antara jiran tetangga akan  lebih akrab. Rentetan perselisihan antara jiran juga dapat dielakkan jika setiap anggota masyarakat mengamalkan nilai- nilai sakinah dalam diri mereka. Persis peribahasa bagaimana acuan, begitulah kuihnya sudah pasti akan terzahir daripada tingkah laku anak – anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku anak – anak yang saban hari melihat perlakuan dan tingkah laku ibu bapa mereka yang baik terhadap jiran. Penitisan didikan akhlak secara berterusan ini sebati dalam jiwa serta sudah pasti akan dibawa oleh anak – anak sehingga merka dewasa.

             Minhaj efektif yang seterusnya ialah nilai – nilai murni perlu diterapkan dalam kalangan pelajar tanpa mengira bangsa atau budaya. Hal ini begitu kerana lazimnya anak – anak yang sedang membesar mudah menerima perkara – perkara positif atau negative. Meskipun di sekolah mempunyai para pelajar yang berlainan latar belakang, etnik dan agama terutamanya di Negara kita, namun yang pastinya semua pelajar mengikuti satu system pendidikan yang sama. Menerusi cara ini, jalinan kerjasama dan semangat keiranan boleh dicapai serta dipertingkatkan. Jelasnya , akar semangat kejiranan mampu dibina berasaskan keimanan yang benar kepada Tuhan dan pegangan yang teguh kepada ajaran agama. Pandangan hidup seperti ini akan menjalinkan perasaan hormat – menghormati antara satu dengan yang lain dan dengan cita – cita memupuk semangat kejiranan akan lebih mudah dicapai. Lazimnya, sifat hormat – menghormati ini dapat menyingkirkan perasaan angkuh dan kebobrokan dalam diri pelajar untuk memudahkan komunikasi di sekolah ataupun di rumah. Penerapan nilai – nilai murni yang bukan sahaja dapat membentuk akhlak dan peribadi mulia dalam kalangan pelajar ini malah mampu membentuk jati diri bangsa yang dapat dicapai melalui penyerapan ilmu dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Pendidikan Islam atau moral dan sebagainya. Tegasnya, sekolah adalah wadah utama dalam menzahirkan hasrat Negara iaitu memiliki warga berilmu dan berakhlak mulia. Izharnya bahawa sekolah merupakan elemen penting dalam menerapkan nilai – nilai murni serta memupukkan semangat kejiranan dalam diri para pelajar di sekolah.

                  Akhir  sekali, kita sebagai seorang individu yang bertanggungjawab dalam hidup berjiran perlulah mengambil berat terhadap orang yang bergelar jiran yang tinggal disekeliling kita. Misalnya, kita perlulah bijak untuk memilih waktu yang sesuai untuk menziarahi jiran agar tidak mengganggu waktu rehat mereka. Amalan menziarahi jiran juga boleh kita lakukan ketika menjelang musim perayaan tertentu atau pada hujung minggu. Seterusnya, sikap bertegur sapa perlulah kita lakukan apabila terserempak dengan jiran. Hal ini kerana secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya perselisihan faham antara satu sama lain walaupun berbeza kaum, agama mahupun budaya. Begitu juga usaha untuk memahami dan mengetahui adat resam dan cara hidup jiran yang berlainan bangsa seperti cara mereka berpakaian, agama dan kepercayaan , adat resam dan makanan tradisional perlu dilakukan oleh setiap individu yang hidup berjiran. Contoh, pada musim perayaan Tahun Baru Cina , kita dapat merasai makanan seperti kuih bakul, limau mandarin dan kuih bulan. Pada Hari Raya Aidilfitri pula, kita sering disajikan dengan juadah seperti ketupat , rending dan dodol manakala pada Perayaan Deepavali , kita dihidangkan dengan makanan seperti tose, muruku, capati dan manisan lain seperti ladu. Impaknya tanpa kita sedari hal ini membolehkan kita mengenali jira tetangga kita dengan lebih mendalam serta memudahkan kita untuk meminta pertolongan sekiranya kita berada dalam situasi kecemasan. Oleh itu, jelaslah bahawa ,`bulan air kerana pembentung , bulat kata kerana muafakat’ menunjukkan sekiranya kita mempunyai hubungan baik dengan jiran nescaya kita dapat merasai kehidupan berjiran dengan aman dan sentosa.

              Secara totalnya, semangat kejiranan dapat dipupuk melalui aktiviti – aktiviti yang dianjurkan oleh pihak – pihak tertentu persis kata hikmah , ada mengatakan bahawa jiran sepakat membawa berkat. Hal ini merujuk kepada jiran yang saling membantu antara satu sama lain, sering bertanyakan khabar dan bertanggungjawab menjaga rumah ketika ketiadaan jiran dirumahnya. Secara tidak langsung, hal ini dapat mendidik jiran agar lebih berasa bertanggungjawab kerana mereka juga akan meminta bantuan ketika mereka ditimpa kesusahan. Hidup ini ibarat roda yang berputar, kadang – kala kita di atas kadang kala kita di bawah. Oleh itu, jiran perlulah sedar akan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka kerana dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara satu sama lain. Badan bukan kerajaan, media massa perlulah menggembleng tenaga dan saling bekerjasama untuk mewujudkan kualiti semangat kejiranan. Tuntasnya, jiran – jiran haruslah menerapkan nilai – nilai murni dalam diri masing – masing untuk menjadikan jiran yang berwibawa dan seterusnya mewujudkan masyarakat yang hidup aman harmonis serta sejahtera.

http://ohkarangan.blogspot.com/2020/02/langkah-langkah-memupuk-semangat.html
Back to Top