-->

Type something and hit enter

Articles


Videos



On

 SOALAN : Anda ingin menulis rencana dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana anda ialah "Peranan Masyarakat Dalam Menangani Wabak Penyakit".

Tulis rencana itu selengkapnya.

PERANAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI WABAK PENYAKIT


23 Januari 2020 menjadi tarikh yang tidak mampu dilupakan oleh segenap rakyat Malaysia. Tarikh ini telah menjadi titik tolak bermulanya penularan satu wabak yang menyebabkan 125 nyawa rakyat Malaysia telah terkorban daripada 9083 orang yang dijangkiti. Wabak ini bukan sahaja telah menular di Malaysia malah juga mengancam nyawa penduduk dunia. Sehingga hari ini, wabak ini iaitu Covid-19 telah mengorbankan 731 349 nyawa di segenap pelosok dunia. Buat pengetahuan para pembaca, wabak ini telah dikesan buat pertama kalinya di Wuhan, China sekitar pertengahan Disember tahun lalu dan telah menjangkiti ramai manusia sehinggalah merentasi benua-benua. Sehingga ke hari ini masyarakat tidak dapat mengamalkan kehidupan seharian mereka seperti biasa kerana acap kali berasa gerun dengan virus corona yang berada di mana-mana sahaja tanpa disedari oleh mereka. Tambahan pula, virus ini amatlah halus dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar sebaliknya perlu menggunakan bantuan mikroskop iaitu  alat untuk memerhatikan organisma halus. Perkara ini telah menyebabkan masyarakat risau akan keselamatan mereka dan keluarga mereka di dunia luar. Sebelum munculnya penyakit ini, Malaysia pernah mengalami gejala penyakit yang juga turut memberikan impak besar pada taraf kesihatan masyarakat seperti wabak virus Nipah, Zika, Denggi, Chikunguya, Selesema burung, Influenza A H1N1 (selesema babi), HIV serta penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). Apakah punca penularan wabak ini? Apakah peranan rakyat yang merupakan ahli sebuah komuniti masyarakat untuk membendung penularan wabak ini? Persoalan ini seringkali berlegar dalam kalangan rakyat marhaen sehinggakan menjadi isu hangat dan sensasi dalam perbualan masyarakat. Oleh itu, perbincangan meja bulat haruslah dilangsungkan bagi mengatasi penyebaran wabak ini untuk kepentingan kita bersama.

Uslub perdana bagi mengekang penularan wabak penyakit ialah masyarakat seyogia menitikberatkan kebersihan dalam kehidupan seharian mereka. Kebersihan ini adalah merangkumi aspek kebersihan diri, masyarakat dan kawasan persekitaran  seperti di rumah, tempat kerja dan sekolah. isu penjagaan kebersihan haruslah tidak dipandang remeh oleh setiap individu kerana kebersihan memberi impak yang besar terhadap tahap kesihatan mereka. Individu yang tidak menjaga kebersihan akan mudah dijangkiti penyakit dibandingkan dengan mereka yang menitikberatkan soal kesihatan. Bagi menjaga kebersihan diri, setiap individu perlulah kerap mencuci tangan, mandi dan menggunakan cecair pembasmi kuman yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pengarah Kesihatan Malaysia, Dato' Dr. Nor Hisham bin Abdullah telah berulang-ulang kali menyeru rakyat Malaysia agar kerap kali membasuh tangan dan menggunakan cecair sanitasi untuk mengekang penularan wabak COVID-19. Hal ini kerana virus corona ini berada di mana-mana tempat yang disentuh oleh mereka yang dijangkiti tetapi tidak boleh dilihat oleh mata kasar individu lain. Oleh itu, masyarakat patutlah akur dan patuh akan perintah penjagaan kebersihan ini kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Walau bagaimanapun, selain aspek kebersihan diri, skop kebersihan persekitaran juga haruslah diberikan perhatian. Menurut Naib Pengerusi Yayasan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye pernah berkata,"Kita perlu mendidik masyarakat supaya mengambil berat tentang keadaan persekitaran dan kejiranan mereka serta memainkan peranan untuk memberikan nasihat atau menegur sebarang perkara tidak elok dilakukan." Dalam ucapan ini, beliau menyeru, agar masyarakat menjaga kebersihan persekitaran dan saling berpesan untuk menjaga kebersihan. Misalnya, aktiviti gotong-royong haruslah diadakan di sekolah, tempat kerja dan kawasan rukun tetangga agar tempat pembiakan haiwan perosak dan serangga berbahaya dapat dihapuskan. Melalui gotong-royong, masyarakat juga dapat berkenalan antara satu sama lain di samping membanteras penyakit berbahaya seperti denggi. Perkara ini dapat dikaitkan dengan peribahasa serampang dua mata. Oleh itu, sudah terang lagikan bersuluh bahawa penjagaan kebersihan diri dan persekitaran dapat mengekang penularan penyakit berbahaya.

Meninjau uslub yang seterusnya, masyarakat juga haruslah menambah pengetahuan tentang wabak penyakit berjangkit yang melanda negara kita. Hal ini adalah untuk mengelakkan diri daripada terkena jangkitan penyakit berjangkit tersebut dengan menghindari perkara-perkara yang menjadi asbab jangkitan penyakit itu di mana jua mereka berada. Sebagai contoh, individu yang mengetahui punca berlakunya penyakit Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit atau juga dikenali sebagai "Acquired Immune Defiency Syndrome" (AIDS) yang disebabkan virus yang dinamakan "Human Immune Defiency Virus" (HIV) akan menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang membolehkannya dijangkiti penyakit ini misalnya berkongsi jarum suntikan dan mengamalkan hubungan seks secara rambang. Tambahan pula, masyarakat Malaysia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan tentang penyakit ini dengan menonton sidang media arus perdana yang disiarkan semasa Buletin Terkini. Dalam persidangan ini, Ketua Pengarah KKM iaitu Dato' Dr. Nor Hisham Abdullah akan mewara-warakan bilangan kes jangkitan COVID-19 pada hari tersebut dan bilangan kes kematian disebabkan wabak ini untuk pengetahuan rakyat Malaysia. Di samping itu, beliau juga turut menitipkan pesanan kepada segenap rakyat agar sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan norma baharu untuk mengelakkan kewujudan kluster baharu yang membabitkan penyakit ini pada masa akan datang. Rakyat Malaysia dapat meningkatkan ilmu pengetahuan melalui penyiaran berita ini sekali gus membuka mata mereka agar terus mencegah penularan wabak ini secara berleluasa dengan mengikuti aforisme sediakan payung sebelum hujan. Oleh itu, tidak dapat dinafikan bahawa peranan masyarakat dalam menangani wabak penyakit adalah dengan meningkatkan ilmu pengetahuan adalah amat penting untuk kebaikan bersama.

Di samping meningkatkan ilmu pengetahuan, masyarakat turut berperanan dalam menyebarkan maklumat yang sahih dan benar kepada segenap stratafikasi sosial dalam usaha mengelakkan penularan wabak penyakit. Hal ini adalah untuk membolehkan setiap individu mengetahui perkembangan terkini penyakit ini di negara kita di samping mewujudkan masyarakat yang celik pengetahuan tentang wabak ini kerana jauhari juga yang mengenal manikam. Dalam konteks ini, media massa yang terdiri daripada media bercetak dan media elektronik telah memainkan peranan vital kepada masyarakat khususnya bagi mereka yang mendiami kawasan yang terdapat wabak penyakit yang masih aktif. Media cetak dan media elektronik yang dimiliki kerajaan dan agensi swasta adalah bertujuan untuk memberi pendidikan kepada rakyat. Namun, media sosial telah mendahului kedua-dua jenis media massa ini dalam penyampaian maklumat serta mempengaruhi pemikiran rakyat supaya bersama kerajaan membendung penularan Covid-19 daripada merebak. Menurut kajian Laporan Digital 2018, jumlah pengguna Internet di negara ini melebihi 26 juta yang mewakili 79 peratus penduduk Malaysia. Daripada jumlah berkenaan, 75 peratus menggunakan perkhidmatan media sosial dan memperuntukkan purata tiga jam sehari di laman sosial. Sehubungan dengan itu, warganet atau netizen di negara ini boleh membantu kerajaan sekali gus dapat menyebarkan maklumat mengenai kepentingan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan. Malahan, mereka juga boleh mempengaruhi minda rakyat untuk mengamalkan prosedur yang wajar diamalkan oleh semua orang dalam membendung Covid-19. Sekiranya sokongan dan kerjasama rakyat China dalam membantu kerajaan mereka dalam menyekat penularan pandemik Covid-19 berjaya dalam masa yang singkat disebabkan peranan media massa dan media sosial, adakah rakyat Malaysia tidak mampu berbuat demikian? Tepuk dada, tanya selera. Kontradiksinya, penyebaran maklumat palsu sering kali berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia sehingga menyebabkan segelintir individu terlalu taksub akan berita yang belum tentu kesahihannya itu. Bagi mengatasi polemik penyebaran berita palsu ini, Kementerian Penerangan Malaysia telah membina portal rasmi yang diberi nama “Sebenarnya.my” untuk kegunaan segenap rakyat. Dengan menggunakan slogan “Tak Pasti, Jangan Kongsi”, platform ini boleh digunakan oleh rakyat untuk menentukan kesahihan berita yang diterima di laman-laman internet. Kesimpulannya, jelaslah bahawa peranan masyarakat untuk menyebarkan maklumat yang betul dan tepat adalah langkah yang efektif, pragmatik dan tepat untuk mengekang penularan wabak penyakit berjangkit.

Memetik warsitah nirmala yang berikutnya, rakyat Malaysia seharusnya mematuhi perintah dan peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha murni mengelakkan penularan wabak penyakit. Hal ini adalah kerana langkah yang telah diterapkan kerajaan adalah selari dengan kehendak KKM agar rakyat terhindar daripada ancaman penyakit berbahaya bagi mengembalikan keamanan yang dikecapi sebelum datangnya badi dan bahana ini. Perintah yang ditetapkan ialah orang ramai haruslah mematuhi penjarakan fizikal. Dalam melangsungkan perkara ini, rakyat dikehendaki untuk menjarakkan diri dengan individu lain sejauh satu meter untuk memastikan individu yang mempunyai gejala tetapi tidak cakna akan perkara tersebut tidak akan mendekati orang lain bagi mengurangkan kebolehjangkitan wabak ini. Selain itu, orang awam juga patutlah memakai pelitup muka yang disarankan oleh KKM iaitu yang bertepatan dengan standard yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu pelitup muka pakai buang 3 lapis. Pemakaian pelitup muka di tempat awam adalah berdasarkan kepada apa yang telah kita ketahui berkaitan cecair pernafasan dalam menyebabkan virus penyebab Covid-19 dan dikukuhkan oleh hasil kajian klinikal dan makmal menunjukkan penggunaan pelitup muka dapat mengurangkan percikan cecair pernafasan apabila dipakai menutupi kawasan hidung dan mulut. Oleh sebab itu, tidak hairanlah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenakan kompaun sebanyak RM 1000 kepada mereka yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam kerana perkara ini akan menyebabkan risiko jangkitan Covid-19 meningkat. Janganlah disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Di samping itu, kerajaan juga melaksanakan kuarantin wajib bagi mereka yang baru sahaja pulang dari luar negara. Hal ini adalah bagi mengurangkan populasi jangkitan wabak ini secara aktif. Namun begitu, baru-baru ini, tular di media arus perdana mengenai seorang warganegara India yang datang ke Malaysia dari India untuk melangsungkan perniagaan nasi kandarnya di negara ini telah disahkan positif Covid-19. Dia telah ‘berjaya’ mencetuskan api kemarahan netizen kerana mengingkari kuarantin selama 14 hari yang diwajibkan pihak KKM sehinggakan muncul satu kluster baru wabak ini ketika keadaan hampir kembali seperti sedia kala. Tambahan pula, virus Covid-19 yang dibawanya adalah “Super Spreader” iaitu mempunyai risiko kebolehjangkitan yang tinggi kepada orang ramai. Tuntasnya, bagi menghentikan populasi jangkitan wabak penyakit berjangkit, orang ramai haruslah mematuhi perintah yang ditetapkan oleh kerajaan.

Akhir sekali, langkah yang efektif dan pragmatik bagi mengekang penularan wabak penyakit ialah masyarakat haruslah menyahut seruan kerajaan melalui kempen kesedaran yang dilancarkan. Kempen yang diimplementasikan kerajaan ini bertujuan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada ancaman penyakit berbahaya di samping memberikan kesedaran kepada mereka mengenai perkara-perkara yang menjadi asbab penyakit tersebut dan langkah yang perlu dipraktikkan untuk mencegah penyakit ini. Ketika Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama dengan beberapa aplikasi pembelian atas menjalankan kempen dengan memberikan penerangan dan kesedaran mengenai Covid-19 kepada masyarakat. Kata Timbalan Menteri KKMM, Datuk Zahidi Zainul Abidin bahawa menerusi kempen yang dijalankan sehingga berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat tidak kira pekerja barisan hadapan mahupun orang awam akan diberi lebih kesedaran berkenaan penjagaan kebersihan dan menggalakkan mereka untuk terus kekal di rumah bagi mencegah penularan pandemik Covid-19. Dalam kempen ini, beliau telah mengedarkan 20 000 unit pek mengandungi pelitup mulut dan hidung, risalah, pelekat dan magnet peti sejuk mengenai pandemik itu kepada penunggang “Grabfood” serta 100 000 pek lagi kepada pelanggan “e-hailing”.  Selain daripada kempen ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memperkenalkan Kempen Pembudayaan Norma Baharu pada 8 Ogos 2020 bagi memperkasakan usaha melawan wabak Covid-19 di Malaysia. Dalam kempen ini, beliau menyeru masyarakat agar menganggap diri sendiri sebagai “petugas bahagian hadapan” dan membantu kerajaan memerangi penularan Covid-19 dengan mempraktikkan amalan kebiasaan baharu dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kerajaan Malaysia. Oleh itu, sebagai seorang warganegara Malaysia yang hidup dalam komuniti masyarakat, kita haruslah menyahut seruan kerajaan dengan mengimarahkan kempen yang dilangsungkan bagi memutuskan rantaian Covid-19. Janganlah kita bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing serta mengabaikan peranan kita untuk mencegah penyakit ini sehinggakan menjadi punca kematian orang lain.

Akhirulkalam, marilah kita bersatu-padu bagai aur dengan tebing untuk mengubah nasib bangsa supaya tidak lagi hidup dalam kepompong dunia yang penuh dengan wabak penyakit berjangkit. Janganlah kita berasa selesa berada di takuk ini kerana telah ramai yang menderita akibat kehadiran wabak penyakit yang berbahaya seperti Covid-19 ini. Kesusahan dan kesukaran yang dialami oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia adalah seperti hilang punca rezeki kerana syarikat tempat mereka bekerja tidak mampu membayar gaji pekerja menyebabkan syarikat tersebut terpaksa mengambil tindakan drastik dengan memberhentikan staf-stafnya. Menurut akhbar Berita Harian, tiga daripada lima individu yang bekerja di sektor tidak formal yang berumur dalam lingkungan 40 tahun dan ke bawah kehilangan pekerjaan. Hal ini menyebabkan mereka tidak mampu membiayai kos hidup mereka sehinggakan terpaksa berhutang untuk membayar sewa tempat tinggal dan membeli barang keperluan harian. Rentetan daripada permasalahan ini, kerajaan Malaysia telah mengatur strategi dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada mereka. Namun begitu, berikutan dengan harga komoditi produk tempatan yang semakin rendah sehingga menyebabkan wang negara semakin menyusut, adakah sumbangan dan pinjaman ini dapat terus disalurkan? Oleh hal yang demikian, yang bulat tidak mungkin datang bergolek, yang pipih tidak mungkin datang melayang, ayuhlah rakyat Malaysia, kita bersatu teguh 'melawan' virus ini daripada terus menular di negara kita. Kini, tibalah masanya untuk kita menghentikan dasar menjaga tepi kain orang untuk seketika dan melihat serta cakna dengan perkembangan penularan wabak penyakit berjangkit bagi menjamin kehidupan yang lebih aman, makmur dan sejahtera di dalam negara Malaysia tercinta ini. Kita jaga kita.




http://ohkarangan.blogspot.com/2021/10/peranan-masyarakat-dalam-menangani.html
Back to Top
Back to Top