-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

 
Karangan SPM

Ciri - ciri Remaja Berwawasan

Dalam menempuh millennium yang sarat dengan cabaran globalisasi, ciri-ciri remaja yang kamil dan mempunyai nilai keinsanan yang syumul amat penting untuk membangunkan negara. Lebih penting lagi, orang muda yang darah setampuk pinang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.

Berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Hal ini demikian kerana akhlak yang luhur datang dari sanubari yang bersih. Remaja yang berakhlak mulia senang didampingi, malah dapat meraih rasa hormat daripada masyarakat sekeliling. Remaja sebegini pasti tidak mudah terjebak dengan kemelut sosial yang mementingkan dunia hedonistik semata-mata. Remaja sedemikian juga sentiasa berusaha untuk menghindarkan diri daripada bergaul dengan remaja yang bermasalah.

Sikap taat pada agama sudah pasti dapat melahirkan individu yang berwawasan. Hal ini disebabkan semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan serta kemungkaran. Secara tidak langsung, remaja yang mempunyai sikap mahmudah dapat dilahirkan dan seterusnya menjadi insan yang kamil. Dia dapat membezakan perkara yang mulia daripada perkara yang buruk. Bak kata pepatah, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Selain itu, remaja berwawasan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan ektensif. Mereka akan berusaha untuk menimba ilmu dan sentiasa dahagakan ilmu. Maka, remaja sebegini tidak mudah mengabaikan tanggungjawab mereka untuk berjaya dalam bidang akademik. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda "Tuntutlah ilmu sehingga negara China." Sebegitu juga Albert Einstein yang mengungkapkan "Semakin banyak ilmu yang dipelajari, semakin banyak yang tidak diketahui."

Di samping itu, remaja yang berwawasan sentiasa gigih untuk menggapai menara impian. Cecil B DeMile pernah berbicara" Orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang." Hamka juga pernah berkata' Cita-cita membawa manusia ke gerbang kemuliaan, angan-angan membawa manusia terjerumus ke lembah kehinaan." Sudah tentu budaya pesimistik dan culas dapat dikikis demi mencapai kejayaan.

Remaja berwawasan juga berusaha mrnggunakan setiap detik dan waktu dengan sebaik-baiknya agar diisi dengan perkara yang bermanfaat serta berfaedah. Bak kata pepatah, masa itu emas. Samuel Johnson pernah mengungkapkan "Masa depan itu dibeli oleh masa sekarang." Remaja yang berminda kelas pertama pastinya memahat nilai masa dalam sanubari mereka dan tidak menghabiskan waktu dengan sia-sia. Maka benarlah, masa ibarat pedang, akan memotong kita bila-bila masa sahaja.

Akhir sekali, insan yang mempunyai semangat patriotik juga merupakan salah satu ciri remaja berwawasan. Mereka akan menghargai jasa tampuk pemimpin negara yang berjaya mengangkat Malaysia sebagai sebuah negara yang disanjungi di persada antarabangsa. Mereka tidak akan bersikap seperti kacang yang lupakan kulit. Mereka juga akan menjalin tali ukhuwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik sesama manusia demi menyahut slogan "Satu Malaysia". Slogan ini menjadi iktibar dan pedoman dalam kehidupan mereka supaya saling membantu bak aur dengan tebing supaya negara aman dan sejahtera. Semangat ini bertepatan dengan peribahasa bersatu teguh, bercerai roboh.

Akhir kata, semua pihak harus menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk melahirkan remaja berwawasan. Bersama-sama kita memanifestasikan iltizam Malaysia untuk menjadi negara yang termasyhur di seluruh pelosok dunia. Imam Al- Bukhari pernah berbicara "Jika kamu ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang."Seperti bak kata peribahasa juga, pemuda tiang negara, pemudi harapan bangsa. Remaja merupakan aset negara yang berharga dan haruslah dididik untuk menjadi insan yang berkualiti dan mampu berjasa kepada pembangunan negara.  Maka, aspirasi negara kita untuk mencapai Wawasan 2020 pada masa akan datang mampu digapai dan digenggam erat.




http://ohkarangan.blogspot.com/2022/03/karangan-spm-ciri-ciri-remaja-berwawasan.html
Back to Top