-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

 INFOTEC 0253 INFOLINE TEC GROUP BERHAD buat kemunculan di Bursa Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif Infoline Tec, Choo Wei Chuen (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini - Foto ihsan Infoline Tec

KUALA LUMPUR: Infoline Tec Group Bhd mula disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini pada 33 sen dengan mencatatkan premium satu sen berbanding dengan harga terbitannya 32 sen.

Sewaktu pembukaan dagangan, kaunter itu menyaksikan 16.08 juta saham bertukar tangan.

Penyedia infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan penyelesaian keselamatan siber itu meraih RM23.68 juta menerusi langkah tawaran awam permulaan (IPO).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Choo Wei Chuen, berkata RM17.46 juta atau 73.74 peratus daripada hasil penyenaraian itu akan digunakan untuk menambah baik pusat operasi rangkaian sedia ada kumpulan dan menubuhkan pusat operasi keselamatan, pusat teknologi dan pusat pemulihan bencana.

"Kemudahan dan kemampuan Infoline Tec yang ditambah baik akan membolehkannya meningkatkan jumlah pelanggan dan menawarkan rangkaian perkhidmatan yang diperluas," katanya pada sidang media secara maya selepas majlis penyenaraian itu.

Wei Chuen berkata, RM2.22 juta atau 9.37 peratus lagi akan diperuntukkan kepada aktiviti pengembangan perniagaan bagi meningkatkan kehadiran syarikat itu di Malaysia dan China.

Beliau menambah, lebihan RM4 juta daripada hasil IPO atau 16.89 peratus akan dimanfaatkan untuk perbelanjaan penyenaraian.

Pada masa depan, beliau berkata syarikat itu turut menetapkan hasrat untuk mengukuhkan kehadiran pasarannya di negara Asia Pasifik lain.

"Dalam era digital ini, penerimagunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan, data raya, pengkomputeran awan, Internet Pelbagai Benda (IoT), mudah alih dan pengkomputeran sosial akan meraih daya tarikan selanjutnya.

"Kami sedang giat mencari projek baharu dan akan mencuba pendekatan terbaik untuk menyampaikan dan memberi perkhidmatan kepada pelanggan di luar negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wei Chuen berkata Infoline Tec telah menerima kesan akibat kekurangan bahan mentah baru-baru ini, namun, akan berbincang dengan pelanggan mengenainya untuk mengurangkan impak berkenaan.

"Terdapat sedikit kelewatan dalam penghantaran perkakasan, tetapi, saya berpendapat apa yang lebih penting adalah kami berkongsi maklumat ini dengan pelanggan agar dapat bersama-sama merancang ketika peringkat perancangan projek untuk mengurangkan dan meminimumkan sebarang penangguhan," katanya.

Baru-baru ini, Infoline Tec mengumumkan keputusan suku tahunan pertamanya bagi tempoh kewangan berakhir 31 Mac 2022 yang mencatatkan keuntungan bersih RM1.32 juta dan perolehan RM8.86 juta.

Syarikat turut menyasarkan untuk mengagihkan dividen sehingga 30 peratus daripada keuntungan selepas cukai tahunan yang diaudit yang boleh diagihkan kepada pemegang saham.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/07/975915/infoline-tec-buat-kemunculan-di-bursa-malaysia

Back to Top