-->

Type something and hit enter


On


AirAsia perkenal teknologi tanpa sentuh

AirAsia memastikan prosedur operasi dilaksanakan dengan standard tertinggi - Foto Bloomberg

SEPANG: AirAsia membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh yang membolehkan tetamu terbang dengan lebih selesa dan selamat dalam persiapan rancaknya untuk kembali terbang ke destinasi percutian bermula dengan Langkawi pada 16 September ini.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan berkata, ia termasuk sistem daftar masuk yang mudah dan pantas yang membolehkan tetamu memuat naik dokumen kesihatan dan vaksinasi mereka untuk pengesahan segera melalui airasia Super App sebelum ke lapangan terbang.

Ini bermakna, penumpang tidak perlu lagi beratur untuk ke kaunter atau bersesak di lapangan terbang, jelasnya.

"AirAsia turut memastikan prosedur operasi dilaksanakan dengan standard tertinggi termasuklah dengan menugaskan hanya kru penerbangan yang telah divaksinasi sepenuhnya untuk mengendalikan pesawat.

"Manakala, ciri-ciri keselamatan pesawat itu sendiri seperti sistem pengudaraan dan penapis berkuasa tinggi yang digunakan di dalam kabin juga menjamin udara yang paling bersih untuk tetamu, seperti mana yang dibuktikan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan antarabangsa," tambahnya.

Sebelum menempah tiket penerbangan, AirAsia turut menasihati penumpang memastikan beberapa perkara untuk menjamin perjalanan yang lancar.

Antaranya, menyemak jika ada sebarang peraturan atau syarat-syarat tertentu yang ditetapkan untuk ke Langkawi dan destinasi lain termasuklah keperluan menyediakan dokumen kesihatan dan perjalanan seperti kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, sekiranya diperlukan.

"Syarat-syarat ini mungkin akan berubah dari semasa ke semasa, jadi sila dapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa berkaitan terlebih dahulu," jelasnya.

Memandangkan semua tetamu perlu mendaftar masuk secara kendiri bagi meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan kesesakan di lapangan terbang, daftar masuk melalui kaunter hanya untuk penumpang kurang upaya, membawa bayi bawah usia 24 bulan dan tetamu bawah umur yang terbang sendiri.

AirAsia menjelaskan, caj daftar masuk kaunter akan dikenakan kecuali untuk kategori tetamu seperti yang dinyatakan di atas.

Tetamu digalakkan untuk tiba sebaik-baiknya empat jam sebelum masa berlepas dan wajib memakai pelitup muka sebelum, semasa dan selepas penerbangan, katanya.

Ia menambah, untuk maklumat lanjut mengenai perkhidmatan daftar masuk kendiri dan cara untuk mengesahkan sijil vaksinasi, boleh layari Halaman Sokongan AirAsia.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/09/862917/airasia-perkenal-teknologi-tanpa-sentuh

Back to Top
Back to Top