-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

SMTRACK (0169) SMTRACK BHD dijangka terajui konsortium penyedia pembiayaan 5G

Datuk Seri Tan Choon Hwa.

KUALA LUMPUR: SMTrack Bhd dijangka menerajui konsortium enam syarikat, melalui 5G Infratech Solutions Sdn Bhd (5GInfra), untuk menyediakan pembiayaan bagi 5G intensif modal, demikian mengikut sumber.

Selain SMTrack, konsortium berkenaan dianggotai Country Heights Holdings Bhd (CHHB); Jiankun International Bhd (Jiankun); Sersol Bhd (Sersol); Techna-X Bhd (Technax) dan MQ Technology Bhd (MQTech).

Sumber itu berkata, melalui rancangan kerajaan mengenai program 5G, konsortium melihat satu usaha sama syarikat sasaran strategik sektor telekomunikasi wajar dibuat.

"Pelaburan dalam syarikat persendirian ini pasti akan meningkatkan aliran pendapatan dan keuntungan konsortium," kata beliau.

Semalam sebuah laman web media berbahasa Cina telah menyiarkan jemputan media dan pemegang saham yang berkaitan untuk menghadiri majlis pemeteraian perjanjian antara SMTrack, CHHB, Jiankun, Sersol, Technax, MQTech dan 5GInfra yang akan diadakan di Hotel Sheraton PJ, 10.30 pagi, pada esok dengan tetamu kehormat ialah Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof iaitu Pengerusi Teraju.

Sumber itu menambah, pada majlis itu syarikat sasaran, yang kebanyakannya terbabit dalam pembinaan dan kejuruteraan infrastruktur telekomunikasi termasuk pelancaran 5G, dijangka akan bersetuju membuat satu kertas kerja dengan konsortium melalui 5GInfra.

"Mereka akan bekerjasama dalam memenuhi aspirasi kerajaan memacu pembangunan dan pelancaran rangkaian infrastruktur 5G. Ia dijangka menyaksikan penyelesaian 5GInfra akan, sama ada memegang kepentingan besar dalam syarikat sasaran atau menyediakan pembiayaan awal dan seterusnya dalam pelancaran rangkaian 5G," katanya.

Sementara itu pada Khamis lalu, Datuk Seri Tan Choon Hwa telah membeli 5.0 juta saham dalam SMTrack menerusi pasaran terbuka dan telah dilantik semula sebagai pemegang saham utama SMTrack dengan 35.5 juta saham atau 5.5 peratys daripada saham yang diterbitkan.

Seorang lagi Pengarah, Datuk Justin Lim Hwa Tat dijangka menyusul awal minggu hadapan, demikian mengikut sumber rapat dengan perjanjian itu.

Pembelian itu, katanya, perlu dibut untuk mendapatkan semula kawalan ke atas hak mengundi syarikat selepas pegangan saham mereka dicairkan di bawah 5.0 peratus menerusi langkah pembesaran modal saham syarikat yang tercetus daripada penukaran nota boleh tukar boleh tebus.

Pada 6 Januari lalu, Choon Hwa juga muncul sebagai pemegang saham baharu syarikat penyelesaian pengenalan frekuensi radio itu, selepas meningkatkan kepentingannya kepada 5.4 peratus daripada 3.16 peratus sebelumnya.

Pada 7 Januari pula, Lim yang juga menjadi pengarah urusan Sersol, muncul sebagai pemegang saham utama baharu SMTrack selepas memperoleh 29 juta saham atau 5.14 peratus pegangan melalui pasaran terbuka.

Pada hari yang sama, Choon Hwa dan Lim dilantik sebagai Pengarah SMTrack.

SMTrack, yang menjadi kaunter saham kedua paling aktif didagangkan pada Jumaat, menyaksikan 169.2 juta saham didagangkan.

Ia ditutup tidak berubah pada 29 sen selepas menunjukkan lantunan mendadak menjelang penutup.

Harga saham SMTrack meningkat daripada 16 sen apabila Tan Sri Lee Kim Yew, yang menjadi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif CHHB, muncul sebagai pemegang saham utama SMTrack pada 29 Disember 2021, selepas memperoleh 28.5 juta saham atau 5.05 peratus kepentingan dalam pasaran terbuka.

Sejak itu, harga saham SMTrack telah mendapat daya tarikan dengan momentum menaik dan volum yang mapan.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/01/912302/smtrack-dijangka-terajui-konsortium-penyedia-pembiayaan-5g

Back to Top