-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On
 Karangan SPM Bahagian B

Kebaikan-kebaikan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)

  Dalam konteks era pascamoden, dunia dicanangkan oleh teknologi maklumat dan komunikasi. Perkembangan dalam bidang teknologi maklumat di dalam negara telah menyogokkan gaya hidup baharu serta mengubah cita rasa pengguna. Teknologi maklumat telah meguasai global ini dengan berleluasa, Hampir setiap saat masyarakat akan menggunakan teknologi maklumat dengan mengawal setiap perkara di hujung jari mereka. Keadaan ini menjadi amat mustahak kepada masyarakat kerana merupakan agenda baharu yang mendapat tempat dalam sanubari masyarakat. Hal ini demikian kerana teknologi maklumat diwujudkan untuk menyenangkan kehidupan kita yang sibuk. Kerajaan negara kita yang menyedari teknologi maklumat mampu menjadikan negara kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju telah pun bertindak pantas dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mencapai wawasan tersebut. Pelancaran satelit negara Malaysia iaitu MEASAT I, II dan Tiungsat-1 ke angkasa lepas merupakan kejayaan yang membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Satelit-satelit ini telah menyediakan perkhidmatan komunikasi asas untuk tanah air kita. Dunia kita kini yang beralaf siber telah melahirkan generasi kini yang celik IT. Kesedaran masyarakat tentang manfaat penggunaan teknologi maklumat semakin meningkat agar tidak ketinggalan terhadap semua perkara. Sesungguhnya, jika direnungkan secara berhemah, teknologi maklumat mendatangkan maslahat terhadap masyarakat dan negara kita.

  Umum mengetahui bahawa keistimewaan perdana yang mampu kita nikmati ialah maklumat dapat diperoleh dengan pantas dan tepat. Dalam konteks ini, masyarakat akan menjadi lebih peka dengan perkembangan dan pergolakan di setiap sudut dunia melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat. Alat-alatan yang canggih seperti komputer, telefon bimbit dan televisyen mampu memaparkan maklumat terkini untuk tatapan umum. Rakyat hanya perlu membuka rangkaian Internet atau menekan butang alat kawalan jauh untuk mengetahui segala-galanya yang ingin diketahui mereka. Dengan teknologi, maklumat mampu disalurkan dengan pantas dan efisyen. Sebagai contoh, dua orang yang berada di tempat yang berbeza dapat berhubung antara satu sama lain dengan adanya rangkaian Internet. Sekiranya mereka mempunyai laman sosial seperti "Facebook", "Twitter", "Skype" dan sebagainya, kedua-dua orang tersebut mampu berkomunikasi sesama sendiri dan mengetahui keadaan pihak lain dengan serta-merta. Aplikasi-aplikasi telefon bimbit pula seperti "Line", "WeChat" dan "WhatsApp" pula mampu menghubungkan ramai orang tanpa membayar wang. Aplikasi seperti ini mampu mengeratkan hubungan dan melepaskan rindu terhadap orang yang tersayang. Perkhidmatan seperti e-mel, laman sembang dan sistem pesanan ringkas (SMS) serta panggilan telefon juga merupakan cara untuk berhubung tanpa berada di tempat itu. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan dan yang boleh mengeratkan hubungan rakyat di seantero dunia ini.

  Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa keunikan penggunaan teknologi maklumat dapat juga dikaitkan dengan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Teknologi maklumat akan meningkatkan mutu pendidikan negara kita. Oleh hal yang demikian, kerajaan telah menubuhkan sekolah bestari sebagai teras pendidikan. Dalam kelas akan ditempatkan komputer dan skrin yang besar di hadapan kelas. Guru akan menggunakan komputer untuk menjalani P&P agar lebih menarik minat murid-murid. Internet juga menjadi sumber rujukan murid-murid ketika mempelajari topik tertentu. Keadaan ini menyenangkan pelajar kerana hanya dengan menaip kata kunci tertentu pada kotak pencarian, senarai laman web yang berkaitan dengannya akan disenaraikan dengan pantas. Penerokaan ilmu di ruang siber mampu menambahkan pengetahuan murid-murid tanpa bersusah payah mencari informasi tertentu di perpustakaan yang mempunyai ribuan buku di atas rak yang banyak. Perkhidmatan maklumat ini menjimatkan masa dan mempercepatkan produktiviti orang raai kerana membantu mereka menyiapkan tugasan dengan cepat. Di samping itu, modul pembelajaran dapat dijalani di rumah dengan memainkan cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang terdapat di belakang buku teks yang disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Selain itu, para siswazah yang telah melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi menggunakan komputer untuk menjalani pembelajaran. Dengan ini, mereka tidak perlu menghadiri kuliah secara lumrah.

  Sesungguhnya kita sedia maklum bahawa manfaat lain yang agak jelas ialah meningkatkan kemajuan tanah air kita. Pembinaan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang bertujuan menarik syarikat-syarikat dengan pengecualian cukai syarikat sementara serta kemudahan-kemudahan lain dan lokasinya yang berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa. Rancangan kerajaan ini membuka peluang pelaburan kepada syarikat-syarikat antarabangsa untuk beroperasi di negara kita. Malaysia menjadi hub teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dinamik. MSC juga menjadi teras utama kepada syarikat multinasional seperti syarikat asing dan syarikat tempatan untuk mengeluarkan produk multimedia dan komunikasi serta menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berkaitan dengan ICT. Projek ini dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad telah membangunkan industri teknologi maklumat dan komunikasi global. Peningkatan dan pentadbiran negara mampu ditingkatkan ke arah yang lebih teratur untuk kemajuan negara. Urusan kerajaan atau swasta dapat dipercepatkan dengan adanya teknologi maklumat. Proses pemindahan maklumat dan penyimpanan data akan dipermudahkan serta menjimatkan masa, tenaga dan meningkatkan kecekapan kerajaan dan rakyat. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) juga menjadi mudah dan lancar. Dalam pada itu, produktiviti akan ditingkatkan dan seterusnya meningkatkan keuntungan sesuatu perniagaan. Maka, kemajuan dapat dicapai dalam masa yang singkat.

  Pada hemat saya, senario tersebut dapat juga dikaitkan dengan maslahat seterusnya iaitu meningkatkan ekonomi negara. Teknologi maklumat menyediakan ruang siber kepada para peniaga yang ingin menjalankan perniagaan mereka secara atas talian dengan menggunakan laman web seperti e-dagang atau perdagangan elektronik. Peniaga hanya perlu menyenaraikan barang-barang yang diperdagangkan di laman web tersebut. Pembeli yang terdiri daripada rakyat dari seluruh dunia pula akan dapat melihat serta membeli barangan tersebut. Pasaran peniaga boleh diperluas melalui internet. Para peniaga juga tidak lagi memerlukan ruang niaga yang besar. Pembeli boleh melakukan pembelian pada bila-bila masa sahaja dan di mana-mana. Keadaan ini juga menjimatkan masa dan tenaga pembeli kerana tidak perlu keluar dari rumah untuk membuat pembelian. Mereka juga akan mengelakkan gangguan kesesakan lalu lintas, cuaca dan jurujual yang membosankan. Halangan pembelian atas talian hanyalah ke penghantaran barang yang mahal bagi lokasi yang jauh. Jika barangan dijual ke luar negara, cukai barangan pula dikenakan dan ini mendatangkan pendapatan kepada negara kita. Fenomena ini akan meningkatkan ekonomi negara kita. Di samping itu, dengan wujudnya teknologi maklumat, peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan perlunya pekerja yang dapat mengendalikan alatan canggih. Pekerjaan-pekerjaan seperti "Computer Programmers", "System Analyzers", "Hardware & Software Developers" dan "Web Designer" merupakan contoh kerjaya yang dikaitkan dengan teknologi maklumat. Kerjaya sebegini dapat meningkatkan kemahiran pekerja di negara kita dan mendatangkan keuntungan pekerjaan yang seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

  Suatu hakikat yang wajar diterima kebaikan penggunaan teknologi maklumat ialah mentarafkan kedudukan negara kita setanding dengan negara-negara maju yang lain. Peralatan yang memerlukan elektrik memiliki teknologi maklumat. Hanya dengan teknologi maklumat peralatan tersebut dapat berfungsi dengan sempurna. Benda yang dapat dicari dari luar negara sekiranya didapati di negara kita sendiri akan menjadikan taraf kita setanding dengan negara maju. Kita akan sentiasa dikemaskinikan kepada masa kini dan tidak ketinggalan arus zaman moden. Perkataan "Global Village" atau lebih dikenali sebagai internet dengan bantuan teknologi membolehkan negara-negara kurang maju seperti Chile dan negara-negara maju seperti Jepun berkongsi idea dan maklumat antara satu sama lain. Hal ini mengurangkan jurang budaya dan akan manunjukkan perhubungan dunia rapat yang membenarkan ekonomi-ekonomi dunia menjadi satu sistem yang bersifat saling bergantung antara satu sama lain. Komunikasi dapat dijalankan antara pihak dari negara berbeza dan membolehkan pertukaran idea dan pandangan. Keadaan ini akan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bekerjasama dan mengurangkan sikap prejudis. Perbezaan pendapat ini akan menggalakkan pemindahan teknologi secara atau tidak langsung. Dengan ini, sesebuah negara dapat mempelajari kemahiran dari luar negara dan memanfaatkan negara sendiri. Dengan keadaan sedemikian, kedudukan negara kita akan setanding dengan negara maju di persada dunia.

  Dengan kupasan yang menarik, sememangnya diakui bahawa teknologi maklumat banyak mendatangkan faedah kepada kita. Sebagai generasi yang berada pada pawana globalisasi yang penuh dengan konkurensi sengit ini, kita sebagai rakyat Malaysia tidak harus ketinggalan arus pemodenan dan sebaliknya menguasai teknologi maklumat yang berada di sekitar kita. Teknologi maklumat akan sentiasa berkembang dari semasa ke semasa dan sistem hidup manusia masa depen akan lebih bergantung kepada kemajuan dalam bidang ini. Malah, pada masa kini juga, kita telah pun banyak bergantung kepada teknologi maklumat untuk membantu menyenangkan kehidupan kita. Wawasan 2020 untuk menjadikan negara kita maju boleh direalisasikan dengan penguasaan rakyat dalam teknologi maklumat. Sekiranya kita meluhat negara kita yang tercinta ini, kita dapat melihat pelbagai pihak yang sering ingin memajukan negara ini. Misalnya, Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Bapa Kemodenan Malaysia telah memberi sumbangan besar terhadap pembangunan yang moden di bandar. Teknologi maklumat juga membantu membangunkan negara agar rakyatnya dapat hidup dengan aman dan selesa. Setiap rakyat perlu melakukan anjakan paradigma agar wawasan 2020 dapat dicapai dengan pantas. Adakah tanggungjawab semua rakyat memanfaatkan teknologi maklumat untuk kepentingan generasi masa kini dan untuk warisan generasi seterusnya yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.
Back to Top