-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

Takaful Ikhlas, MBSB Bank sasar RM500 juta

Rudy Rodzila (kiri) dan Nor Azam pada majlis memeterai kerjasama bancatakaful antara Takaful Ikhlas dan MBSB Bank di Petaling Jaya

PETALING JAYA: Takaful Ikhlas Family Bhd dan Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) memeterai kerjasama bancatakaful untuk tempoh lima tahun dengan MBSB Bank Bhd dan menyasarkan untuk mencapai sumbangan takaful sebanyak RM500 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam Taib, berkata kerjasama itu akan meliputi pelbagai penawaran produk keluarga dan am.

"Pada masa sama, inisiatif ini juga akan meningkatkan pendapatan berasaskan fi bank.

"MBSB Bank dan Takaful Ikhlas akan mengkaji peluang lain seperti kerjasama dan inisiatif CSR," katanya dalam satu kenyataan.

Nor Azam berkata, kerjasama ini akan membawa nilai yang lebih besar kepada pelanggan bank dalam usaha mengembangkan rangkaian produk takaful untuk memenuhi keperluan mereka sepanjang perjalanan kewangan mereka.

"Kami yakin dengan keupayaan Takaful Ikhlas untuk produk dan perkhidmatan takaful serta platform digital mereka," katanya.

Nor Azam berkata, bank gembira dengan kerjasama jangka panjang dengan Takaful Ikhlas, yang sejajar dengan matlamat dan strateginya untuk menjadi bank Islam terkemuka.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin, berkata syarikat komited untuk membawa penyelesaian takaful terbaiknya kepada pelanggan runcit dan korporat MBSB Bank.

"Kami percaya kerjasama ini akan dapat memberi peluang kepada pelanggan bank untuk mendapat manfaat daripada perlindungan kewangan melalui penawaran kami.

"Kami akan bekerjasama rapat dengan MBSB Bank untuk memperkasakan penyelesaian kewangan Islam yang progresif dan komprehensif secara eksklusif kepada rakyat Malaysia," katanya.

Rudy Rodzila berkata, kerjasama itu akan membolehkan Takaful Ikhlas menyokong visi bank untuk menjadi antara bank Islam terkemuka di Malaysia dan pada masa sama, dapat menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang berguna dan mampu milik untuk memenuhi keperluan masyarakat.

MBSB Bank akan memperluas produk berkaitan kredit takaful keluarga Takaful Ikhlas seperti Takaful Bertempoh Gadai Janji Berkurang (MRTT), takaful jangka kredit berkelompok dan khidmat nasihat produk takaful serta produk takaful amnya seperti motor, pemilik rumah, takaful kebakaran, kemalangan diri dan banyak lagi.

-BERNAMA

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/12/1035072/takaful-ikhlas-mbsb-bank-sasar-rm500-juta

Back to Top