-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

KEPENTINGAN HOBI TERHADAP INDIVIDU

Sudah pasti setiap manusia di muka bumi ini mempunyai hobi tersendiri. Menurut Kamus Dewan Edisi Kedua, hobi ditakrifkan sebagai aktiviti kegemaran yang dilakukan seseorang pada waktu lapang. Umum mengetahui, kebanyakan penduduk dunia mula berjinak-jinak dengan hobi baru ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung berikutan dengan penularan wabak Covid-19.  Disebabkan terlalu jemu dengan aktiviti seharian yang hampir sama sepanjang tempoh darurat itu, ramai yang cuba menerokai aktiviti dan hobi yang bermanfaat untuk dilakukan. Aktiviti yang menjadi tular sepanjang PKP ini adalah seperti memasak, bercucuk tanam, menjahit, menyulam, menggubah bunga, membuat kaligrafi, menulis cerita  dan bermain permainan secara dalam talian. Aktiviti-aktiviti  ini dilakukan secara bersendirian atau bersama-sama orang tersayang seperti keluarga dan sahabat handal. Namun begitu, sayangnya hobi ini tidak lagi menjadi kelaziman segelintir masyarakat setelah tamatnya tempoh PKP dek kekangan masa dan terlalu sibuk dengan aktiviti di tempat kerja. Walau bagaimanapun, terdapat juga segelintir masyarakat malaysia yang tetap setia melakukan aktiviti ini kerana terdapat seribu satu fadilat yang terkandung dalam hobi mereka itu. Rentetan daripada senario tersebut, terdapat di antara kita yang mempersoalkan mengenai kebaikan-kebaikan yang tersembunyi itu? Adakah hobi mampu memberikan manfaat dalam kehidupan kita seperti yang telah dinyatakan? Bagaimanakah seseorang memulkan hobi mereka? Apakah kesan sampingan jika terlalu taksub dengan hobi itu? Bagi menjernihkan air yang keruh, diskusi tentang faedah hobi dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara haruslah diimplementasikan.

Signifikansi yang perdana dan utama, hobi dapat mengisi masa lapang individu dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini akan memberikan kemaslahatan kepala diri seseorang seandainya dia menjadikan perkara atau aktiviti yang berfaedah sebagai hobinya. Seperti mana yang diketahui, frasa ‘hobi’ merujuk kepada perkara yang menjadi kesukaan seseorang untuk dilakukan pada masa senggang. Oleh itu, gejala-gejala yang tidak bermoral juga boleh dikategorikan sebagai hobi sekiranya ia menjadi perbuatan yang suka dilangsungkan oleh individu. Bagi memilih hobi yang bermanfaat dan sesuai untuk diri seseorang, ibu bapa merupakan insan yang memainkan peranan yang vital untuk menerapkan elemen perbezaan antara hobi yang baik dan hobi yang buruk dalam diri anak-anak yang masih berusia setahun jagung. Hal ini adalah supaya mereka dapat menghindarkan diri daripada melakukan gejala-gejala yang tidak elok sehinggakan akan merosakkan masa hadapan mereka dan negara kerana mereka ialah bakal pewaris pucuk kepimpinan negara. Sekiranya mereka telah dibentuk dengan acuan yang baik, sudah pasti negara Malaysia juga dapat menumpang kegembiraan pada masa akan datang. Berbalik pada teras perbincangan bahawa hobi dapat mengisi masa lapang seseorang dengan aktiviti yang berfaedah kerana hobi yang menjadi rutin individu pada masa lapang dapat mengelakkannya daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak bermoral. Sebagai contoh, hobi membaca buku pada waktu malam dapat mengelakkan seseorang daripada menyertai kumpulan-kumpulan yang tidak sihat yang boleh menyongsangkan akidah seseorang anak Adam seperti pertubuhan kongsi gelap dan Black Metal. Kata Tan Seri Muhyiddin Yassin ketika masih memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri, seramai 85 575 orang golongan belia yang berumur sekitar 19 hingga 39 tahun dikesan menjadi penagih dadah bagi tahun 2014 hingga 2018. Pada hemat saya, faktor yang menjadi pendorong kepada gejala ini adalah kerana mereka tidak mempunyai hobi yang bermanfaat untuk dilakukan menyebabkan mereka terpengaruh dengan ajakan rakan untuk melakukan aktiviti yang tidak senonoh. Oleh hal yang demikian, golongan belia haruslah bijak memilih hobi yang bermanfaat agar dapat mengisi masa lapang sekali gus menghindarkan diri daripada berada dalam lingkungan rakan-rakan yang rosak akhlak dan sahsiah mereka.

Beralih kepada kepentingan hobi yang selanjutnya adalah dapat menambahkan ilmu pengetahuan dalam diri individu. “Setiap seorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masung-masing,” demikianlah Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat ini membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah andai individu tersebut melakukan anjakan paradigma dalam dirinya daripada terus berada di takuk lama. Oleh itu, bagi memperluaskan cabang ilmu pengetahuan, individu boleh membaca buku, melayari Internet dan pergi ke perpustakaan untuk mencari bahan bacaan. Kini, dalam era ledakan sains dan teknologi, individu dapat memperoleh ilmu pengetahuan dengan mudah dengan syarat dia mempunyai peranti elektronik dan capaian Internet yang mantap. Maklumat hanya di hujung jari, tiada alasan untuk terus menjadi seperti katak di bawah tempurung. Sebagai generasi yang bakal menempuh kehidupan pada era Revolusi Perindustria 4.0, seseorang haruslah melengkapkan diri dengan elemen fasih digital dalam diri mereka agar tidak terpedaya dengan muslihat dan permainan kotor teknologi maklumat dan telemunikasi. Bagaimanakah elemen fasih digital dapat diterapkan? Sudah pasti dengan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang secukup tentang teknologi maklumat dan telemunikasi. Tambahan pula, individu yang mempunyai pengetahuan yang luas dapat berfikiran matang, produktif dan mampu mengutarakan cadangan dan idea yang bernas dalam hasrat memajukan negara agar dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju di seluruh dunia. Oleh hal yang demikian, generasi hari ini perlulah melaksanakan modus operandi dengan melaksanakan hobi yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan agar membantu meningkatkan ekonomi negara.

Menyelusuri perspektif pemikiran yang seterusnya, faedah hobi juga adalah mampu menjana pendapatan individu. Sebagai yang kita semua ketahui, pendapatan diperoleh masyarakat zaman ini bukanlah seperti dahulu iaitu perlu ke sana dan ke sini untuk memohon pekerjaan. Kini, dalam era kecanggihan teknologi dan komunikasi, bermacam-macam pekerjaan boleh dilangsungkan secara dalam talian. Dengan adanya hobi, individu yang berbakat dalam perkara tertentu dapat menjana pendapatan. Contoh hobi yang mampu memberikan pulangan dari segi wang ringgit kepada individu adalah seperti membina laman sesawang, menyunting gambar, mereka poster dan membuat sulaman serta memasak. Hal ini kerana melalui kecanggihan teknologi maklumat dan telemunikasi, individu yang hanya tinggal di rumah tanpa ke tempat kerja sekali pun dapat menjana pendapatan sendiri disebabkan wujudnya laman sesawang seperti Shoppee, Lazada, Facebook, Lelong dan Mudah.my. Laman-laman ini menyediakan platform untuk sesiapa sahaja menjual dan membeli barangan yang dikehendaki tanpa perlu menjejakkan kaki keluar dari pintu rumah masing-masing. Sementelahan pula, bagi generasi anak muda zaman ini yang mempunyai hobi untuk menulis blog, merakam dan menyunting video dapat menjana pendapatan pada usia yang muda. Bermodalkan peranti elektronik seperti telefon pintar dan cetusan idea yang menarik, video yang dihasilkan perlulah menepati cita rasa golongan hari ini. Apabila video-video yang dimuat naik memperoleh tontonan yang disasarkan, individu boleh mendaftar sebagai ahli Google AdSense untuk mendapatkan wang dengan memenuhi syarat yang ditetapkan. Perihal ini membolehkan individu menjana pendapatan pada usia yang muda sekali gus mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh ibu bapa mereka. Sebagai tamsilan, seorang aanak watan yang berumur 12 tahun telah berjaya mengumpulkan lebih daripada 3 juta pengikut di laman YouTube sekali gus menjadikannya sebagi kanak-kanak Malaysia pertama yang mampu menjana pendapatan pada awal usianya dengan melakukan hobinya iaitu menyanyi. Tuntasnya, benarlah hobi dapat menjana pendapatan individu.

Di samping itu, hobi juga mampu menjadikan individu seorang yang dapat mengekalkan kesihatan mental dan fizikal. Bagi memperhalusi horizon perbincangan, hobi yang dapat membantu individu untuk mengekalkan kesihatan mental adalah seperti melakukan aktiviti amal, menari, menulis, mendengar muzik dan mengamalkan yoga. Buat pengetahuan para pembaca, kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera d mana seseorang menyedari tentang keupayaan dirinya, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang bakti kepada masyarakat. Kesihatan mental merupakan sesuatu aspek yang tidak boleh dipandang remeh oleh individu kerana individu yang mempunyai masalah kesihatan mental akan mengalami tekanan dan stres, tiada keyakinan diri, antisosial, bersikap pesimis, mempunyai masalah ‘Anxiety Disorder’ dan yang lebih dahsyat adalah dapat menjadi asbab terhadap kematian seseorang. Oleh itu, hobi perlulah dilakukan untuk mengatasi permasalahan ini. Amsalnya, kajian yang dijalankan oleh Jenny Hole mendapati para pesakit yang menunggu pembedahan dapat mengurangkan kebimbangan dengan mendengar muzik berbanding mengambil ubat-ubatan. Di samping itu, mendengar muzik boleh merendahkan tahap kortisol yang juga dikenali sebagai hormon tekanan. Selain itu, hobi juga dikatakan mampu mewujudkan kesihatan fizikal yang mantap dalam diri seseorang. Sebagai contoh, mendaki gunung, berjoging dan berenang membolehkan seseorang itu menyingkirkan urea iaitu toksin-toksin dalam badan agar dapat mencegah daripada penyakit kesihatan yang berbahaya. Kata peribahasa Melayu mencegah lebih baik daripada mengubati, rakyat Malaysia diseru untuk melaksanakan hobi yang dapat mengekalkan keseimbangan mental dan fizikal agar dapat menjadi individu yang proaktif dan produktif sebagai memenuhi kehendak Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju.

                Akhir sekali, faedah yang diperoleh oleh seorang individu apabila melaksanakan hobi mereka adalah dapat meluaskan pandangan dan pengalaman tentang budaya masyarakat di negara lain. Sebagai contoh, melancong, membaca dan menonton video di laman Youtube dapat membuka mata masyarakat kepada dunia luar. Hal ini adalah kerana masyarakat akan terdedah kepada kemajuan negara asing serta mentaliti mereka.  Melalui aktiviti melancong, individu dapat mempelajari budaya asing seperti budaya kerja orang Jepun yang begitu mementingkan aspek penjagaan waktu. Perihal ini akan menyebabkan dia cuba mengaplikasikan budaya tersebut apabila pulang ke Malaysia. Namun begitu, tidak semua budaya Jepun boleh dijadikan contoh kerana statistik telah menunjukkan bahawa Jepun merupakan antara negara yang mencatatkan bilangan kematian akibat bunuh diri tertinggi di dunia. Hal ini disebabkan masyarakat Jepun terdedah kepada tekanan hidup yang terlalu taksub untuk mencapai kemajuan. Oleh sebab itu, kita perlulah menjadi individu yang seimbang rohani dan jasmani agar kemajuan dalam negara dapat dicapai tanpa adanya nyawa terkorban. Seterusnya, aktiviti membaca juga membolehkan seseorang menimba ilmu tentang negara orang supaya dapat meluaskan honzon pemikiran yang sempit. Melalui pembacaan tentang sejarah dunia, seseorang dapat mempelajari cara tamadun dunia berkembang. Misalnya, Tamadun Indus telah berkembang dengan ilmu teknologi pertanian dan geometri melalui pertembungan dengan Tamadun Mesopotamia dan Tamadun Yunani. Bukankah perkara ini sesuatu yang menarik? Oleh itu, kita hendaklah banyak membaca dan menerokai bahan bacaan yang berlandaskan sejarah dan perkembangan dari luar negara supaya dapat mengambil pengajaran dan ikhtibar daripadanya. Kesimpulannya, pandangan dan pengalaman tentang budaya masyarakat di negara lain boleh diterap melalui hobi seperti melancong dan membaca.

                Akhirulkalam, pengamalan hobi yang baik perlulah dipraktikkan rakyat Malaysia agar dapat memperoleh  1001 manfaat daripadanya. Sementara itu, perkara-perkara yang tidak elok seyogia dihindari bagi mengelakkan masalah sosial berlanjutan dalam kalangan masyarakat. Kotradiksinya, jiwa remaja yang masih merah cenderung untuk melakukan aktiviti bagi 'menunjukkan kehebatan' diri mereka sehingga menjerumuskan diri  ke dalam lokap. Sebagai pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara, belia patutlah bijak memilih hobi agar dapat memperoleh kemaslahatan daripadanya sekali gus membangungkan negara bangsa Melaysia. Janganlah menjadi diri seperti katak di bawah tempurung dan bagai melepaskan batok di tangga kerana hobi merupakan elemen yang penting dalam kehidupan seseorang individu.



http://ohkarangan.blogspot.com/2021/10/kepentingan-hobi-terhadap-individu.html
Back to Top