-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK) KEPADA MURID

SOALAN : Huraikan pendapat anda tentang kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( TMK) kepada murid.

Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

    Menambahkan ilmu pengetahuan
    Mengeratkan hubungan
    Membantu dalam pembelajaran

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK) KEPADA MURID

Dalam era ledakan sains dan teknologi ini, penggunaan teknologi digital kian aktif di serata dunia. Dari kawasan pedalaman hinggalah ke bandar-bandar penduduk tempatan tidak lepas daripada menggunakan peranti elektronik seperti komputer riba, komputer peribadi dan telefon pintar. Tidak dapat dinafikan bahawa teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) telah menjadi kayu ukur untuk menentukan kemajuan sesebuah negara maju. Oleh hal yang demikian, kerajaan Malaysia telah merangka beberapa perancangan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara industri menjelang tahun 2020 dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi digital dalam kalangan rakyatnya. Buktinya ialah kerajaan Malaysia telah mewujudkan Koridor Raya Multimedia sebagai sebuah perancangan kerajaan ke arah kecanggihan teknologi maklumat. Selain itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan setiap sekolah kerajaan dilengkapi dengan makmal komputer untuk melahirkan pelajar-pelajar yang celik IT. Namun begitu, terdapat segelintir pihak yang cuba memprotes tindakan ini disebabkan oleh impak buruk yang dibawa teknologi dalam kehidupan pelajar. Memang tidak disangkal bahawa setiap perkara ada baik dan buruknya tetapi penggunaan TMK dalam kalangan pelajar dipercayai membawa lebih banyak kebaikan berbanding keburukan. Oleh hal yang demikian, perbincangan meja bulat mengenai kepentingan TMK kepada murid harus direalisasikan untuk kemaslahatan kita bersama.

Meninjau buah fikiran yang pertama, TMK dapat menambahkan ilmu pengetahuan yang berguna kepada murid. Hal ini kerana TMK menyediakan saluran yang luas kepada murid untuk mencari maklumat dengan mudah dan efektif. Dengan adanya peranti elektronik dan capaian Internet yang mantap, maklumat dapat dicari hanya d hujung jari dengan mengakses kepada laman pencarian maklumat seperti Google, Yahoo, Safari dan Firefox. Sebagai tamsilan, murid dapat mengetahui tentang wabak penyakit berjangkit dan isu semasa tentang penularan virus Covid-19 di negara kita. Perkara ini akan menjadikan seseorang itu cakna akan wabak tersebut sekali gus mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalang jangkitan penyakit ini. Seterusnya, berteraskan Dunia Tanpa Sempadan, TMK juga menyediakan saluran kepada murid untuk mempelajari tentang budaya dan ketamadunan bangsa-bangsa di seluruh dunia yang pesat berkembang. Daripada pembacaan bahan-bahan ilmiah ini, ilmu pengetahuan ini dapat menjadi nilai tambah kepada seseorang murid agar lebih berfikiran futuristik dan tidak mudah terpengaruh dengan hegemoni bangsa lain yang cuba menjatuhkan bangsa kita. Sementelahan pula, input yang dicari menggunakan kemudahan TMK adalah lebih menjimatkan masa pencarian. Hal ini membolehkan pelajar untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih mudah dan efektif. Ironinya, tidak dapat disangkal lagi TMK memberikan peluang kepada pelajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri mereka.

Selain itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi juga memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga, masyarakat dan negara. Memetik laporan daripada akhbar arus perdana, murid yang mempunyai masalah stres di Sekolah Berasrama Penuh majoritinya adalah kerana rindu akan keluarga masing-masing. Oleh itu, bagi mengekang permasalahan ini, pihak sekolah telah membenarkan para murid untuk membawa telefon pintar ke sekolah dan diserahkan kepada guru yang bertugas bagi menyimpannya. Pada waktu tertentu seperti hujung minggu, guru terbabit akan memulangkan semula telefon tersebut kepada mereka. Tambahan pula, murid dapat menjalinkan silaturahim dengan masyarakat daripada luar negara dengan adanya medium Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Dengan tersedianya platform seperti Whatsapp, Instagram, Facebook, Twitter dan Snapchat, mereka berpeluang untuk berhubung dan berkenalan dengan masyarakat dari luar negara agar dapat mengetahui serba sedikit tentang cara persekolahan mereka dan budaya yang menarik di tempat tinggal mereka. Hal ini akan membolehkan para murid untuk mengembangkan horizon pemikiran mereka dan menjadikan mereka sebagai individu yang berfikiran terbuka dan kritis serta mampu menyumbang idea yang bernas dalam usaha memajukan negara kita. Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh kepentingan TMK ialah murid dapat mengeratkan hubungan dengan orang lain.

Akhir sekali, TMK juga berperanan sebagai bahan bantu dalam pembelajaran. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakna berikutan penularan wabak Covid-19 pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dalam kalangan guru dan murid turut menerima kesannya. Oleh itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil alternatif untuk menggunakan medium TMK sebagai cara baru untuk berhadapan dengan norma baharu ini. Dalam merealisasikan usaha ini, guru-guru telah menjalani khusus untuk mempelajari teknik menggunakan aplikasi Google Classroom yang kelak akan diaplikasikan bersama murid-muridnya. Selanjutnya, terdapat guru-guru yang melangsungkan PdPc secara dalam talian menggunakan aplikasi seperti Zoom, Webex, Telegram dan Youtube untuk membolehkan mereka berinteraksi dengan para pelajar. Amsalnya, Cikgu Siti Faridah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Derma telah tular di media sosial baru-baru ini kerana menggunakan kaedah skrin hijau untuk memudahkan murid-muridnya memahami subjek Kimia. Usaha beliau telah mendapat pujian daripada barisan pendidik dan masyarakat. Selain itu, TMK juga menyediakan para pelajar dengan koleksi soalan peperiksaan untuk membantu mereka menguasai tajuk yang dipelajari. Sebagai contoh, para pelajar dapat mencari koleksi soalan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), percubaan SPM negeri-negeri dan kuiz secara dalam talian. Natijahnya, murid dapat menggunakan TMK untuk membantu mereka dalam pembelajaran.

Akhirulkam, penggunaan TMK adalah amat vital dalam kalangan pelajar kontemporari ini. Tanpa teknologi, sudah pasti negara kita tidak dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah setanding dengan negara-negara maju di seluruh dunia. Bagi mengimplementasikan perkara, sinergi daripada pelbagai pihak amatlah diperlukan. Tamsilnya, ibu bapa perlulah menyediakan kemudahan teknologi kepada anak-anak mereka dan mendidik mereka dengan elemen fasih digital agar dapat memanfaatkan penggunaan TMK dengan cara yang betul dan berhemah. Selain itu, kerajaan melalui KPM juga haruslah memberikan tunjuk ajar kepada para pelajar tentang algoritma dan pengaturcaraan bagi memperkenalkan mereka pada alam maya yang serba luas dan canggih ini. Hal ini adalah bagi menyediakan mereka sebagi individu yang dapat memacu pembagunan negara selari dalam usaha mewujudkan Malaysia sebagai negara industri menjelang era Revolusi Perindustrian yang ke-4 ini.




http://ohkarangan.blogspot.com/2021/10/kepentingan-teknologi-maklumat-dan.html
Back to Top