-->

Type something and hit enter

Pages

Singapore Investment


On

Syed Mokhtar pertimbang pilihan untuk  DRBHCOM 1619 DRB-HICOM BERHAD

KUALA LUMPUR: Saham DRB-Hicom Bhd melonjak selepas Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dilaporkan sedang melaksanakan semakan semula strategik terhadap konglomerat itu.

Saham syarikat itu mencecah setinggi RM1.61, atau 10.27 peratus berbanding harga penutupnya semalam, semasa dagangan berhenti rehat tengah hari tadi.

Bloomberg yang memetik sumber enggan dikenali kerana proses itu adalah sulit melaporkan bahawa

Syed Mokhtar sedang berunding dengan penasihat berpotensi mengenai beberapa pilihan, termasuk membeli pegangan kawalan DRB-Hicom.

Tokoh perniagaan itu juga mempertimbangkan penjualan kepentingan atau kaedah lain untuk terus menyeragamkan perniagaan-perniagaan DRB-Hicom, kata sumber terbabit.

Syed Mokhtar memiliki 56 peratus pegangan dalam DRB-Hicom, yang mempunyai nilai pasaran kira-kira RM2.9 bilion menerusi sebuah syarikat pelaburan.

Sumber terbabit berkata, pertimbangan berkenaan masih lagi di peringkat awal dan tiada keputusan akhir sudah dibuat.

Wakil daripada DRB-Hicom dan Syed Mokhtar tidak memberikan maklum balas segera kepada pertanyaan untuk mendapatkan kenyataan.

Seandainya Syed Mokhtar membuat keputusan untuk membeli pegangan kawalan dalam DRB-Hicom, ia kali kedua syarikat hartawan itu dikeluarkan daripada penyenaraian di Bursa Malaysia.

Sebelum ini, MMC Corp yang terbabit dalam industri pelabuhan dan logistik, penjanaan tenaga serta kejuruteraan dan pembinaan, dijadikan syarikat persendirian pada 2021.

DRB-Hicom membeli kawalan kepentingan dalam pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd (PROTON) pada 2012 daripada sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd.

Ia menjual 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON kepada firma China, Zhejiang Geely Holding Group Co (Geely) pada 2017.

Urus niaga itu juga membolehkan Geely memiliki kepentingan majoriti dalam jenama kereta sukan ikonik Britain, Lotus Cars.

Bahagian automotif DRB-Hicom turut mempunyai kompleks yang memasang kira-kira 17,000 unit kenderaan setiap tahun untuk jenama seperti Mercedes, Suzuki dan Isuzu.

Sebagai kontraktor pertahanan utama negara, DRB-Hicom turut terbabit dengan pembangunan, pemasangan dan pengedaran kenderaan ketenteraan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ia turut memiliki kepentingan dalam penyedia pinjaman patuh Syariah, Bank Muamalat; penyedia perkhidmatan pos nasional, Pos Malaysia selain pelaburan dalam hartanah.

https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2022/12/1039804/syed-mokhtar-pertimbang-pilihan-untuk-drb-hicom

Back to Top